Sorting by

×

UiTM, MARii lancar pusat R&D Satellite Node

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SHAH ALAM, 18 Mac – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) melancarkan MARii-UiTM Satellite Node, sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat.

Pusat tersebut menawarkan kemudahan, alat dan peralatan bertaraf industri dengan tumpuan ke atas sektor automotif, automasi, robotik, internet pelbagai benda (IoT) dan bidang berkaitan bagi pemegang kepentingan pelbagai sektor teknologi.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata Satellite Node yang ditempatkan di Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar (SMRI) Kolej Kejuruteraan UiTM, bermatlamat mengukuhkan pengembangan R&D Industri 4.0, menggalakkan dan membangunkan rangkaian kerjasama akademik, budaya, penyelidikan dan bakat dalam sektor teknologi tempatan serta memperkukuh rantaian pembekal 5.0 di Malaysia.

Pencapaian matlamat MARii-UiTM Satellite Node ini dimulakan dengan pemeteraian tiga memorandum perjanjian (MoA) kedua-dua pihak yang meliputi pembangunan sistem pembelajaran maya bagi pembuatan bahan tambahan logam, Pengajaran dan Pembelajaran Talian Lean Karakuri IR4.0 dan membangunkan model ramalan bagi pelaksanaan Pengesanan Simptom COVID-19.

Majlis pelancaran serta pemeteraian MoA itu telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor dan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari.

Menurut Roziah, perkongsian strategik itu akan memberi ruang kepada UiTM, terutama dalam kejuruteraan pembuatan pintar serta kepakaran dalam bidang lain untuk bekerjasama dengan industri berkaitan dan pada masa sama melahirkan siswazah yang bersedia bagi industri IR4.0.

“Hubungan dan perkongsian industri yang terjalin ini penting dalam memastikan penyelidikan dan inovasi serta pengajaran dan pembelajaran UiTM kekal berimpak tinggi selain mampan dari aspek komersial bagi pihak industri dan komuniti untuk meningkatkan prestasi pengeluaran dan ekonomi melangkaui pandemik ini,” katanya.

Sementara itu, Madani berkata rangkaian bakat MARii menjangkau kepakaran industri, akademik dan kerajaan dan kini mempunyai akses kepada dimensi baharu pembangunan teknologi melalui penubuhan MARii-UiTM Satellite Node itu.

Beliau berkata, selain penempatannya di universiti tempatan, pusat terbabit juga berperanan sebagai hab strategik bagi pelbagai industri di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitar yang meliputi pelbagai sektor termasuk automotif, elektrik dan elektronik serta logistik.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1959
Kongsi :
Previous post 11,111 kekosongan jawatan bagi PKP, PRP dan pegawai awam PDRM
Next post Liga Premier : Aksi Kuching FC pula ditunda
Ubah saiz-+=