Sorting by

×

UiTM lapor polis dakwaan gangguan seksual oleh tenaga pengajar

Masa Membaca:55 Saat

SHAH ALAM 18 Jun – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi memudahkan proses penyiasatan berhubung dakwaan gangguan seksual dilakukan oleh seorang tenaga pengajar terhadap beberapa pelajar yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM Nora Noordin berkata, universiti itu juga telah mengarahkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk meneliti dan menjalankan siasatan terperinci terhadap segala dakwaan yang bersangkutan.

“UiTM memandang serius dakwaan itu dan juga komited untuk menangani segala dakwaan yang dibangkitkan.

“Universiti sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana staf yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan kuasa mereka sebagai staf kerana UiTM amat mengutamakan keselamatan, kebajikan dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai, terutama ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kebajikan, keselamatan dan hal ehwal pelajar adalah keutamaan universiti dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat mengikut peraturan dan ketetapan universiti sedia ada.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1004
Kongsi :
Previous post COVID: 6,440 kes baharu direkodkan
Next post Pemandu terselamat, lori terbakar ketika singgah di R&R
Ubah saiz-+=