Sorting by

×

UHUD KPMBM santuni asnaf Pulau Tuba

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 Mac – Unit Hal Ehwal Ugama dan Dakwah Kolej Profesional MARA Bandar Melaka (UHUD KPMBM) menyalurkan sumbangan kepada asnaf terpilih di Pulau Tuba Langkawi, Kedah, menerusi Program Musa’adah serta Promosi KPMBM.

Ketua Rombongan, Khairul Haniza Ibrahim berkata program pertama kali dianjurkan itu bertujuan memberi keceriaan kepada lapan asnaf memerlukan.

Katanya, tiga daripada penerima bantuan adalah pelajar daripada keluarga asnaf yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Kita salurkan sedikit sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai kepada asnaf terpilih. Kita juga mengadakan ziarah kasih ke rumah pelajar asnaf yang sedang belajar di bawah tajaan Pejabat Lembaga Zakat Negeri Kedah.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program, diharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya kepada MHI.

KHAIRUL (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada asnaf yang memerlukan.

Hadir sama Yang Dipertua Muafakat KPMBM, Muzafar Ab. Rahim; Pengarah YADIM Melaka, Ustaz Yusuf Ahmad dan Pegawai Zakat Langkawi, Norazhar Abdul Hamid.

Program sempena sambutan Hari MARA pada 1 Mac itu mendapat kerjasama Pejabat Zakat Langkawi, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta pihak Masjid Pulau Tuba.

Mengulas lanjut, Khairul melahirkan rasa kagum dengan kejayaan anak-anak Pulau Tuba yang melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi hingga menjawat jawatan dalam pelbagai sektor pekerjaan.

“Ini membuktikan warga Pulau Tuba tidak ketinggalan dan telah berjaya seiring dengan yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1440
Kongsi :
Previous post Singapura bekerjasama dengan Malaysia perluas VTL darat
Next post Foodbank Yayasan DMDI terima sumbangan barang makanan
Ubah saiz-+=