UDA komited perkasa usahawan tempatan
BANDARAYA MELAKA 26 Februari – UDA Holdings Berhad (UDA) menyokong hasrat kerajaan untuk terus memperkasakan usahawan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Seri Mohd Salem Kailany berkata pihaknya komited membantu usahawan tempatan dengan menyediakan pelbagai insentif.
Katanya penubuhan Malaysia Entrepreneur Hub, Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), UDA One Stop Retail Centre MARI Mart, UDA Craft Corner KIRANA dan UDA Niaga dilihat mampu membantu golongan itu untuk mengembangkan lagi perusahaan mereka.
“UDA berharap pembangunan Hab Keusahawanan Morten Walk di bawah program Malaysia Entrepreneur Hub ini dapat mempergiat aktiviti keusahawanan.
“Hab keusahawanan Morten Walk terletak di tengah bandar ini dibangunakan di atas tanah berkeluasan 1.68 hektar dengan kos RM8 juta.
“Lokasinya berhampiran dengan tarikan utama seperti Perkampungan Tradisional Kampung Morten, Jambatan Kampung Morten, Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Lawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Bendmedick ke Morten Walk, Kampung Morten, di sini, semalam.
Turut hadir, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.
Katanya, UDA turut merancang untuk membangunkan lebih banyak Hab Keusahawanan di seluruh negara.
“Antaranya Heritage Walk, Jalan Sultan Ismail dan Odeon Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur serta Kuala Terengganu Golf Resort, Terengganu dengan peruntukan pembangunan bagi setiap hab dianggarkan sebanyak RM10 juta.
“Inisiatif ini seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang memfokuskan kepada kelangsungan serta kelestarian dalam kehidupan atau sustainability,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.