Ucapan terakhir pesara guru sebelum maut ditikam anak kandung
TANGGA BATU 6 Julai- Ucapan maaf dan peringatan ajal tidak mengenal usia yang diucapkan pesara guru Rozizah Md Dom kepada ibu tirinya menjadi petanda bahawa dirinya akan pergi selama-lamanya.
Menurut adik mangsa Mohamed Hisham, 54, berkata, malam sebelum kejadian (Isnin malam) dia bersama keluarga dan ibunya Jumi Md Som, 73, pergi melawat kakaknya dan sempat makan malam bersama-sama.
Katanya, ketika mereka tiba kakaknya itu sedang mengaji sebelum menjemput mereka untuk makan malam bersama dengan menghidangkan ketam masak lemak.
“Kami berbual serta bertanya khabar memandangkan arwah baru kehilangan suami dan dia seperti biasa tidak menunjukkan perubahan.
“Ketika hendak balik dia bersalam dengan emak dan meminta maaf dengan mengatakan maaf zahir dan batin serta kita semua kena ingat, umur kita ini reput bila-bila masa boleh pergi.
“Kami terperanjat juga tetapi ingatkan dia macam biasa, berseloroh. Pelik juga kecuali hari raya orang akan cakap maaf zahir dan batin ini hari biasa,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, ketika dia berkunjung ke rumah kakaknya itu, anak sulung arwah turut ada bersama dan kelihatan seperti biasa selain tiada sebarang perkara pelik.
“Malam itu dia ada bersama dan bersikap seperti biasa malah tidak menunjukkan apa-apa yang pelik itu membuatkan saya terkejut.
“Tidak sangka itu pertemuan terakhir kami. Sepatutnya kami ke rumah abang tetapi dia tiada jadi saya ubah fikiran untuk bertemu dan bertanya khabarnya,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, sehingga hari ini dia masih tertanya-tanya apa yang berlaku sehingga anak arwah sanggup bertindak sedemikian rupa.
“Ketika itu saya sedang bekerja, tiba-tiba isteri telefon dan maklumkan kejadian. Perasaan saya ketika itu bercampur, gementar ada, geram ada.
“Malah sampai hari ini saya tertanya-tanya lagi, bagaikan tidak percaya, selain arwah juga sebelum ini tidak pernah bercerita hal anak-anaknya kepada saudara mara,” katanya.
Melaka Hari Ini, semalam melaporkan seorang anak yang tergamak menikam ibu kandung sehingga mati di Kampung Paya Luboh, di sini, pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Melaka.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, ketika ditahan suspek berusia 38 tahun mengaku menikam leher kiri dan kanan ibunya menggunakan sebilah pisau berukuran 26 sentimeter (cm).
Beliau berkata, suspek mendakwa bertindak sedemikian selepas terdengar bisikan yang menyuruhnya menikam mangsa kerana ibunya dikatakan menyembah berhala.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.