Ubah tayar terpakai jadi Menara KLCC

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

LENDU 24 Ogos – Kegigihan dua pesara tentera memanfaatkan barangan terpakai berjaya mengubah halamannya rumah mereka menjadi lebih meriah sempena bulan kemerdekaan tahun ini.

Yusof Abdul Talib, 50, memanfaatkan 30 tayar terpakai sebelum mentransformasikannya menjadi replika Menara Berkembar Petronas KLCC dalam menunjukkan semangat cintakan negara.

Yusof berkata, dia mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan replika menara setinggi dua meter itu yang kemudiannya dicat mengikut warna bendera Malaysia.

“Setakat ini, kami dua keluarga berhempas pulas sehingga pukul 1 pagi untuk menghiaskan halaman rumah kami dengan ribuan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat patriotik kami sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.

“Kami mula memasang Jalur Gemilang sejak 15 Ogos lalu bersama keluarga ipar, Noridah Zakaria, 54 dan Abdul Razak Mohd Jai, 40 peringkat demi peringkat dan kami banyak menghabiskan masa menghiasi kawasan rumah pada sebelah petang hingga malam berikutan ada ahli keluarga lain yang masih bekerja di waktu siang.

“Alhamdulillah setakat ini hampir 80 peratus kawasan rumah telah dihiasi Jalur Gemilang malah kami sedang merancang untuk menubuhkan sebuah galeri dinamakan sebagai Galeri Satria yang menunjukkan susur galur keluarga kami yang berasal dari keluarga tentera,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2022-08-23 at 7.21.15 PM
RIBUAN jalur gemilang turut dihiasi di halaman rumah pesara tentera di Lendu.

Yusof berkata, tema Menara KLCC itu dipilih sebagai tema hiasan tahun ini bagi membolehkan mereka bersaing dengan 30 rumah lagi dalam Pertandingan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kampung Lendu.

Menurutnya, tahun lalu mereka menggunakan tema monumen basikal lama dan meriam dan telah dinobat johan pada pertandingan itu.

Justeru, dia bertekad mahu terus mempertahankan kemenangan itu dan pada masa sama memberi galakan kepada orang ramai agar tidak segan dalam menunjukkan semangat patriotik kepada negara.

“Alhamdulillah setakat ini, ramai memberikan respon positif kepada usaha kami, malah hasil semangat yang ditunjukkan ini ramai masyarakat kampung mula sedar akan pentingnya kibaran Jalur Gemilang sehinggakan mereka mula mengibarkan bendera di rumah masing-masing,” ujarnya.

WhatsApp Image 2022-08-23 at 7.23.07 PM
YUSOF

Dalam pada itu, dia berkata hari kemerdekaan merupakan tarikh penting untuknya dan keluarga yang mewarisi darah tentera.

“Susur galur tentera ini dimulakan daripada Allahyarham bapa mertua, Zakaria Ibrahim merupakan antara pejuang yang terkorban dalam serang hendap di Gerik pada 1979 ketika berjuang menentang komunis suatu ketika dahulu.

“Dari darah tentera itu ia terus diwarisi sehingga kesemua abang dan adik ipar saya dan kini diwarisi sehingga ke anak buah yang turut bergelar seorang tentera yang menjaga keamanan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3742
Kongsi :
Previous post Pelajar Kolej Vokasional Alor Gajah maut kemalangan
Next post Negeri-negeri Pantai Barat berpotensi dilanda ribut petir 27-30 Ogos ini
Ubah saiz-+=