
UBAH SUAI BOT LAMA JADI PRODUK PELANCONGAN BAHARU
BANDARAYA MELAKA 10 Mac – Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) bercadang mewujudkan produk baharu dengan membaik pulih serta mengubahsuai tiga unit bot lama Melaka River Cruise (MRC) menjadi restoran terapung.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, jika terlaksana kelak bot berkenaan akan menjadi tarikan baharu untuk menggamit lebih ramai pengunjung dan pelancong singgah ke Sungai Melaka.
Menurut Shaharul Azuar, ketiga-tiga bot berkenaan kini berusia lebih 20 tahun dan menyimpan nilai sentimental yang tinggi khususnya melibatkan perkembangan sektor pelancongan di Sungai Melaka.
Jelasnya, secara fizikal bot berkenaan masih dalam keadaan elok, namun atas faktor usia dan keselamatan kenderaan air itu tidak lagi digunakan untuk membawa penumpang menelusuri Sungai Melaka.
“Kami bercadang untuk mengubah suai bot ini menjadi seperti Restoran Terapung Mendam Berahi, kemudian diletakkan di lokasi menarik seperti di Muara Sungai Melaka dan kehadirannya nanti tidak akan mengganggu operasi MRC.
“Namun semua ini masih pada peringkat cadangan, seperti bot Mendam Berahi yang diangkat menjadi restoran terapung ini kita jadikan projek rintis,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Bufet Berbuka Puasa Teratak Klasik D’Sungai Melaka, semalam.
Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, cadangan itu juga adalah sebahagian daripada persediaan menerima tetamu pada Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) September depan.
“Sebagai merealisasikan hasrat itu PPSPM juga sedia bekerjasama dengan mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) yang mempunyai kepakaran dan tenaga mahir dalam bidang bot gentian fiber,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.