Ubah sikap, mentaliti kelas ketiga

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KESIDANG 13 Mei – Sikap atau mentaliti kelas ketiga oleh segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam longkang perlu diubah dengan segera.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, perkara itu ditegaskan kembali memandangkan berulangnya kes pembuangan sampah di sebuah longkang di Limbongan, baru-baru ini.

Beliau berkata, sampah-sarap yang memenuhi longkang berhampiran sebuah kedai kuih ‘viral’ itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan, bahkan boleh membawa kepada pencemaran dan mengundang kepada peningkatan kes demam denggi.

“Longkang terbabit di bawah seliaan pihak syarikat konsesi pembersihan yang mana kerja-kerja pembersihan akan dilakukan sebanyak dua kali seminggu.

“Meskipun begitu, masalah sama tetap akan berlaku iaitu sampah sarap tetap akan berkumpul di kawasan longkang terbabit kerana terdapat penghadang di situ supaya sampah tidak dibawa ke laut.

“Jadi perkara ini saya dapati ia memang masalah sikap yang suka-suka membuang sampah, kerana sampah yang tersangkut adalah sampah komersial yang mana ia dibuang terus ke dalam longkang tersebut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata mengikut tinjauan beliau sendiri, pihaknya mendapati terdapat satu kawasan yang didiami pekerja asing dan dipercayai ia juga antara penyumbang kepada longgokan sampah di longkang tersebut.

“MBMB akan ambil tindakan tegas, kompaun akan terus dikeluarkan kepada sesiapa yang didapati membuang sampah terus ke dalam longkang.

“Kompaun dari RM250 hingga RM500 boleh dikenakan kepada mereka yang didapati membuang sampah terus ke dalam longkang dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Perkara ini bukanlah perkara baharu, ia sering terjadi namun tiada perubahan sikap diambil oleh penduduk sekitar bagi mengatasi isu longkang tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

261
Kongsi :
Previous post ‘Saya menyanyi tak sedap mana, tapi….’
Next post Pidato Rukun Negara Piala TYT Melaka tawar hadiah bernilai RM33,500
Ubah saiz-+=