TYT tunai solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim
BUKIT PALAH 2 Mei – Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Al-Azim, di sini, pagi ini.
Hadir sama mengiringi beliau, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan, Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.
Solat sunat Aidilfitri diimamkan oleh Imam Masjid Negeri Datuk Muhammad Hashim Al-Hafiz.
Terdahulu Tun Mohd Ali bersama Sulaiman tiba di perkarangan masjid kira-kira jam 8.20 pagi.
Selepas menunaikan solat, Tun Mohd Ali meluangkan masa mendengar khutbah bertajuk Mesyukuri Nikmat Aidilfitri sebelum melawat Makam Pahlawan Melaka.
Suasana solat sunat Aidilfitri kali ini meriah berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diumumkan kerajaan, seperti tiada lagi penjarakan fizikal.
Kali ini ibu bapa dilihat membawa bersama anak-anak kecil, tidak kurang yang mengambil kesempatan berswafoto untuk berkongsi detik kemeriahan sambutan Aidilfitri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.