TYT minta ADUN jaga kelakuan sewaktu bersidang
AYER KEROH 20 Julai – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam meminta kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjaga kelakuan sewaktu bersidang pada persidangan kedua penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 yang bermula esok.
Katanya, sebagai wakil rakyat, kesemua mereka perlu mengamalkan nilai-nilai murni agar dapat menjadi contoh kepada masyarakat umum dan mencerminkan kematangan pemimpin
“Sebagai ADUN, apa jua tindakan dan perlakuan ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa menarik perhatian umum.
“Perbalahan yang tidak berkesudahan hanya akan merugikan semua pihak. Sebaik-baiknya perbezaan pendapat yang ada ditransformasikan menjadi landasan ke arah kerjasama satu pasukan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Saya menaruh harapan persidangan kali ini dapat berjalan teratur dan sempurna, serta penuh rasa hormat-menghormati antara satu dengan yang lain tanpa mengira ideologi politik masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian persidangan kedua penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14, di Seri Negeri, sebentar tadi.
Pada masa sama, Mohd Ali turut menggesa masyarakat berbilang kaum negeri ini agar tidak sesekali melakukan cubaan untuk mencetuskan provokasi kaum dan memainkan isu-isu sensitif yang akan merosakkan rasa muhibbah dan perpaduan.
Ujarnya, rakyat perlu memainkan peranan dalam usaha mengekalkan keharmonian dan meraikan perbezaan budaya bagi mengukuhkan perpaduan yang sudah terjalin sejak sekian lama.