TYT lawat PPV Dewan Tun Ali sempena ulang tahun

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BUKIT KATIL 5 Jun – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam, hadir membuat kunjungan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali, di sini hari ini.

Kunjungan beliau di pusat berkenaan bersempena ulang tahun pertama dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri yang  Ke Tujuh.

Terdahulu, Mohd Ali tiba di pekarangan PPV Dewan Tun Ali, jam 11 pagi dan disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir menyambut ketibaan beliau, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ismail Ali dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat.

Mohd Ali menghabiskan masa kira-kira 30 minit meninjau keadaan pusat berkenaan serta beramah mesra dengan penerima vaksin yang menerima suntikan dos pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.

MOHD Ali (kanan) beramah mesra dengan penerima vaksin dengan diiringi Rahmad (dua kanan) dan Ismail.

Menurut Rahmad, Yang di-Pertua negeri berpuas hati dengan kemudahan dan fasiliti disediakan di PPV serta perjalanan prosedur suntikan yang dikendalikan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dibantu beberapa agensi lain bagi keselesaan orang ramai.

“Hari ini, seramai 800 penerima vaksin hadir menerima suntikan dos pertama dan akan kembali semula menerima suntikan kedua dalam tempoh tiga minggu lagi,” katanya.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

729
Kongsi :
Previous post Varian Afrika Selatan sudah ‘tiba’ di Melaka
Next post Percepat kajian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak
Ubah saiz-+=