TYT, KM saksikan cerapan Hilal Syawal
TANJUNG BIDARA 10 April – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam hadir ke Majlis Cerapan Rasmi Hilal Syawal 1445H/2024M Peringkat Negeri Melaka di Balai Cerap, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, hari ini.
Turut sama pada majlis itu Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.
Turut bersama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim.
Pada majlis itu, Mufti Melaka mengetuai Jawatankuasa Rukyah dan Ahli Melihat Anak Bulan Melaka, mencerap anak bulan Syawal 1445 Hijrah sebelum hasil rukyah anak bulan ini dilaporkan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR).
Cerapan anak bulan pada 29 Ramadan dilakukan antara jam 6.30 petang hingga 7.40 malam.
Pengumuman dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Aidilfitri kemudian akan dibuat secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada malam ini.
Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri, esok.
Selain Balai Cerap Al-Khawarizmi, terdapat 29 lagi lokasi rasmi lain untuk merukyah anak bulan termasuk Menara Alor Setar, Kedah, Balai Cerap KUSZA, Terengganu, Banting, Selangor dan Bintulu, Sarawak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.