TYT, KM hadir ke Majlis Cerapan Hilal Syawal
TANJUNG BIDARA 20 April – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, hadir ke Majlis Cerapan Rasmi Hilal Syawal Peringkat Negeri Melaka di Balai Cerap, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, hari ini.
Turut sama pada majlis itu Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta barisan Exco Kerajaan Negeri yang lain.
Selain itu, majlis tersebut turut dihadiri Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.
Pada majlis itu, Mufti Melaka mengetuai Jawatankuasa Rukyah dan Ahli Melihat Anak Bulan Melaka, mencerap anak bulan Syawal 1444 Hijrah sebelum hasil rukyah anak bulan ini dilaporkan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Cerapan anak bulan pada 29 Ramadan dilakukan antara jam 6.30 petang hingga 7.40 malam.
Pengumuman dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Aidilfitri kemudian akan dibuat secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada malam ini.
Selain Balai Cerap Al-Khawarizmi, terdapat 28 lagi lokasi rasmi lain untuk merukyah anak bulan termasuk Baitul Hilal Bukit Jugra, Selangor dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pulau Pinang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.