Sorting by

×

TYT, Ketua Menteri antara individu pertama dijangka terima suntikan vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER MOLEK 22 Feb. – Melaka dijangka menerima bekalan vaksin pada Rabu ini sebelum diagihkan kepada 10,000 petugas barisan hadapan secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerajaan negeri sudah mula menyusun atur senarai penerima vaksin yang dijadualkan bermula pada 28 Februari ini.

Katanya, senarai penerima pertama bagaimanapun masih belum diperincikan dan perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa COVID-19 esok.

“Cadangan kita yang pertama akan menerima adalah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam dan seterusnya, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

“Penerima vaksin seterusnya adalah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), pegawai kerajaan dan petugas barisan hadapan termasuk wartawan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabatnya di Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, vaksin berkenaan akan diedarkan di tiga hospital kerajaan di negeri ini dan 13 klinik kesihatan bagi membolehkan suntikan diberikan kepada petugas barisan hadapan.

“Kita juga mencadangkan peringkat pertama, suntikan vaksin diadakan di Dewan Tun Ali (Bukit Katil) berikutan dewan berkenaan mempunyai kapasiti yang besar,” katanya.

Semalam, sejumlah 312,390 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech selamat tiba di Malaysia dihantar ke 16 pusat simpanan vaksin di seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post SPM 2020: Guru dibenar ikut laluan ekspres di SJR
Next post Gondol 28 pingat : UTeM menang besar di EREKA 2021
Ubah saiz-+=