TYT hadir cerapan hilal Syawal
TANJUNG BIDARA 1 Mei – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, hadir ke Majlis Cerapan Rasmi Hilal Syawal Peringkat Negeri Melaka di Balai Cerap, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, hari ini.
Turut sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum bersama Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat serta Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud.
Pada majlis itu, Mufti Melaka mengetuai Jawatankuasa Rukyah dan Ahli Melihat Anak Bulan Melaka, mencerap anak bulan Syawal 1443H sebelum hasil rukyah anak bulan ini dilaporkan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Cerapan anak bulan yang dilakukan pada 29 Ramadan dilakukan antara jam 6.30 petang hingga 7.40 malam.
Pengumuman dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Aidilfitri kemudian akan dibuat secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada malam ini.
Selain Balai Cerap Al-Khawarizmi, terdapat 28 lagi lokasi rasmi lain untuk merukyah anak bulan termasuk Baitul Hilal Bukit Jugra, Selangor dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pulau Pinang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.