TVET lahir belia berkualiti
TABOH NANING 11 Disember – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara bidang mampu memperkasakan lagi ekonomi belia di negara ini dan mengubah masa depan golongan itu kearah lebih berkualiti.
Presiden Gerakan Belia 4B, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, berikutan itu pihaknya mahu memainkan peranan lebih aktif dalam mempromosikan TVET kepada belia, sebali gus memastikan tidak ada golongan itu yang keciciran daripada menikmati kemudahan disediakan kerajaan.
Katanya, perkara itu juga sebagai menyahut saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Gerakan Belia 4B menjadi penghubung antara kerajaan, industri dan belia.
“Saranan itu adalah satu komitmen besar yang akan kami galas, sekali gus memastikan hasrat keranaan berjaya dicapai.
“Sebagai pertubuhan yang mewakili belia kami akan memberikan idea dan memastikan ekonomi orang muda khususnya dalam kalangan Bumiputera ini terus dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia Ke-44, dirasmikan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin, di A’ Famosa Resort, di sini, semalam.
Kira-kira 300 perwakilan mewakili Gerakan Belia 4B seluruh negara menghadiri mesyuarat itu yang berlangsung selama dua hari.
Pada program sama seramai 19 individu menerima Anugerah Pingat Jasa Bakti dan Pingat Jasa Belia yang disampaikan Megat Zulkarnain.
Pingat Jasa Belia dianugerahkan kepada 10 penerima berusia atas 40, sementara itu sembilan lagi individu menerima anugerah Pingat Jasa Bakti
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.