Tutup rundingan, Muhyiddin umpama derhaka kepada Agong – Dr Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 23 November – Keengganan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membuka pintu rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) ternyata mengeruhkan keadaan dan digambarkan seakan menderhaka ke atas titah Yang di-Pertuan Agong.

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia berikutan parti itu lebih mementingkan kepada agenda politik daripada kepentingan rakyat sehingga sanggup membelakangkan perintah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Titah perintah Yang di-Pertuan Agong kepada kedua gabungan ini untuk penubuhan kerajaan perpaduan perlu dijunjung dengan penuh taat setia kerana agenda yang lebih besar iaitu kepentingan rakyat Malaysia perlu diutamakan.

“Kebijaksanaan Tuanku yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi segalanya wajar dihormati dan dipatuhi oleh kedua PH dan juga PN. Gabungan ini perlu segera mencari titik persamaan untuk segera menyelesaikan kemelut yang kini telah menjadi permasalahan negara.

“Saya menyeru dan memohon kepada PN dan juga PH kekal setia sebagai rakyat terhadap Raja untuk segera duduk berunding selari dengan titah perintah Tuanku Agong bagi menyelesaikan permasalahan yang semakin meruncing ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, PN dan PH yang diberi mandat rakyat perlu menunaikan janji mereka dan meletakkan kepentingan rakyat dan pembangunan negara sebagai agenda utama mereka.

Ujarnya, dua gabungan teratas dalam kutipan kerusi wajar mengadakan perbincangan bagi tujuan menubuhkan Kerajaan Persekutuan dan tidak wajar melengahkan perbincangan ini kerana agenda pembangunan negara serta pembelaan rakyat semakin tertangguh selagi tiada sebuah kerajaan mentadbir negara.

“Sekarang bukanlah waktu untuk mempamer ego atau kekuatan politik parti masing-masing tetapi ini adalah masa untuk menunaikan janji yang mereka berikan kepada rakyat ketika kempen tempoh hari.

“Apa jua alasannya, adalah tidak wajar untuk sesiapa menderhaka ke atas titah perintah Tuanku Agong dan kedua gabungan ini perlu segara mengadakan perbincangan bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan seperti yang telah diperintahkan sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6443
Kongsi :
Previous post 4 lokasi SJR di Melaka pantau keselamatan
Next post “Pergi tengok wayang” – Anwar
Ubah saiz-+=