Tutup koperasi tidak aktif pilihan terakhir – Mas Ermieyati
LENDU 9 Feb. – Tindakan menutup koperasi tidak aktif oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) adalah pilihan terakhir selepas pelbagai usaha memulihkannya gagal.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin menegaskan, SKM tidak sewenang-wenangnya menghentikan operasi koperasi tidak aktif, sebaliknya berusaha menyelamatkannya.
Katanya, pegawai SKM memberi tumpuan kepada koperasi tidak aktif untuk dipulihkan dalam tempoh tiga bulan melalui bimbingan dan khidmat nasihat.
“Ada koperasi gagal mengadakan mesyuarat agung lapan tahun tetapi berkat kegigihan pegawai SKM memberikan khidmat nasihat dan bimbingan, ia berjaya dihidupkan semula.
“Perniagaan koperasi amat penting bagi membentuk komuniti yang mampu mengawal harga barangan kerana mereka melabur dalam koperasi dan mereka turut menentukan harga barangan dijual,” katanya ketika meninjau operasi pejabat SKM Cawangan Masjid Tanah di pekan Masjid Tanah semalam.
Turut hadir, Pengarah SKM Melaka, Mohd Firdaus Shaari dan Pengarah Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi Korporat SKM, Rusli Jaafar.
Mas Ermieyati berkata, anggota komuniti di negara ini harus mencontohi komitmen tinggi masyarakat Jepun dan Jerman yang bergiat aktif dalam koperasi, sekali gus menjadi antara masyarakat dunia yang mendominasi pengawalan harga barangan.
“SKM sangat berlembut dalam membantu memastikan perniagaan koperasi di negara kita kekal berdaya saing dengan perniagaan konvensional dan peluang ini harus dimanfaatkan oleh koperasi yang tidak aktif untuk merancakkan semula perniagaan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, SKM negeri berjaya menyelamatkan Koperasi Siswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Berhad dan Koperasi Politeknik Kota Melaka Berhad yang sebelum ini tidak aktif.
“Kami membimbing ahli koperasi itu mengikuti sesi pemulihan dan melakukan audit serta dan membantu menyediakan cadangan pemulihan,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhannya ada 475 koperasi di negeri ini dengan kebanyakannya aktif menjalankan pelbagai jenis perniagaan.
Katanya, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka adalah yang terbaik di negeri ini dan yang ke-43 terbaik di Malaysia berikutan aktiviti memberikan pinjaman kepada ahlinya.