Turun ke laut suka-suka, terkejut dapat selangat 300 kg

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TANJUNG BIDARA 8 Sept – “Saya cuma turun ke laut untuk suka-suka mengikut ayah menjaring dan alhamdulillah, Allah kurniakan kami rezeki melimpah-ruah,” kata Muhammad Asyraf Mohd Ali, 24, yang teruja menjaring 300 kilogram (kg) ikan selangat hari ini.

Bekas pelatih Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Kuala Sungai Baru itu berkata, dia dan bapanya, Mohd Ali Abu Bakar, 52, turun ke laut pada jam 6.30 pagi tadi dan selesai membuang jaring setengah jam kemudian.

“Setengah jam selepas itu kami menarik jaring dan saya terkejut apabila mendapati keseluruhan jaring dipenuhi dengan selangat.

“Pada mulanya kami mencuba menanggalkan ikan di tengah laut tetapi terpaksa menarik jaring tanpa menanggalkan ikan kerana ikan terlalu banyak,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini hari ini.

MUHAMMAD Asyraf (tengah), Mohd Ali (kanan) dan Ibrahim Hassan menanggalkan selangat yang tersangkut pada jaring di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Mereka bernasib baik kerana dibantu bebera rakan nelayan untuk menanggalkan dan menjual ikan di pangkin pada harga lelong RM10 bagi tiga kg.

Muhammad Asyraf berkata, pada musim hasil tangkapan tidak banyak mereka menjual selangat pada harga RM5 sekilogram tetapi apabila hasil tangkapan mencecah 300 kg, mereka terpaksa menurunkan harga bagi memastikan ia habis dijual.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, pada musim angin Monsun Barat Daya atau lebih dikenali dalam kalangan nelayan sebagai ‘ribut barat’ sekarang, ikan berkenaan bermain di perairan hampir dengan pantai.

“Selangat tidak berenang bersendirian, sebaliknya ia bergerak dalam kumpulan yang besar yang jika terkena pada jaring, kadang kala boleh menyebabkan jaring timbul di permukaan laut kerana sudah terlalu banyak.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dikurniakan rezeki melimpah-ruah hari ini selepas tiga hari pulang dengan tangan kosong sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1651
Kongsi :
Previous post LHDN serah 200 kit makanan kepada MAIM
Next post KKM percepat buka semula gimnasium, rangka garis panduan pengalihan udara
Ubah saiz-+=