TURAP JALAN DI HUTAN SIMPAN BERMULA 7 PETANG HINGGA 6 PAGI
LENDU 10 September – Keluhan orang ramai berhubung kesesakan luar biasa di Jalan Hutan Simpan Sungai Udang – Masjid Tanah (membabitkan kedua-dua hala) mendapat perhatian Kerajaan Negeri.
Ia selepas Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer mengadakan lawatan ke lokasi kerja-kerja naik taraf jalan berkenaan pagi tadi.
Hameed dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima banyak aduan dalam beberapa hari daripada orang ramai susulan trafik sesak di lokasi yang merupakan jalan utama menghubungkan Masjid Tanah dan Sungai Udang.
Susulan itu, beliau berkata, mulai hari ini (Selasa), kerja-kerja penurapan jalan tersebut tidak lagi bermula pada jam 3 petang iaitu ketika waktu puncak, sebaliknya hanya akan bermula pada jam 7 petang dan berakhir 6 pagi.
“Insya-Allah kerja-kerja penurapan jalan penghubung ini hanya akan bermula pada jam 7 petang hingga 6 pagi, mulai Selasa hingga Jumaat, kecuali jika berlaku hujan lebat atau kerosakan ‘utilities’.
“Saya bagi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor terlibat memohon maaf di atas kesulitan orang ramai ketika pergi dan balik kerja.
“Sama-samalah kita mendoakan kerja (penurapan dan naik taraf) jalan ini berjalan lancar untuk keselesaan di masa akan datang,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di platform media sosial.
Sementara itu, menurut notis dikeluarkan Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd, kerja naik taraf itu bermula pada 9 September lalu dan dijadual berakhir Jumaat ini.
Notis itu memaklumkan, naik taraf itu membabitkan kerja-kerja Cold In-Place Recycling (CIPR), Mill and Pave serta lain-lain kerja berkaitan membabitkan jarak sepanjang 4 kilometer.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.