TUNGGANG MOTOSIKAL HAMPIR 11 JAM KE MELAKA
AYER KEROH 6 Disember – Pasangan suami isteri ini sanggup menunggang motosikal hampir 11 jam semata-mata mahu merasai kemeriahan penganjuran RXZ Members Ride Edition 2.0 2024 Melaka Attack! di Dataran MITC, di sini.
Nurul Nasrin Nazari, 21, berkata dia bersama suami bertolak dari Ipoh, Perak pada 11 malam semalam dan selamat sampai di Melaka jam 9.30 pagi tadi.
“Alhamdulillah suami beri ‘lesen’ untuk saya menunggang sendiri motosikal Yamaha 125Z, dia pula menunggang Yamaha RXZ, sepanjang perjalanan ke Melaka kami singgah di beberapa perhentian untuk berehat selain melelapkan mata.
“Berikutan itu kami ambil masa agak lama untuk sampai ke Melaka, jika ikutkan anggaran tempoh menunggang cuma enam jam sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, minat terhadap jentera dua roda bermula selepas dia berkahwin dengan suami banyak memberikan pendedahan mengenai motosikal kepadanya.
Berkongsi perancangannya Nurul Nasrin berkata, selepas ini dia bersama suami bercadang untuk berkonvoi ke Thailand dan Singapura.
“Perancangan besar kami adalah mahu mengelilingi dunia dan sekarang sedang giat mengumpul wang bagi membiayai kos perjalanan nanti.
“Sementara belum ada cahaya mata mungkin ini peluang untuk saya dan suami bercuti berdua ke destinasi menarik seluruh dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.