Sorting by

×

Tunggang ‘kapcai’ dari Melaka ke Mekah

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

KUALA LINGGI 27 November – Jauh perjalanan, luas pemandangan. Itu gambaran mengenai kegigihan pasangan suami isteri menunaikan umrah dengan hanya menaiki motosikal kapcai pada 2019.

Walaupun perjalanan ke Mekah melalui laluan udara sering menjadi pilihan umat Islam, namun bagi Mohd Suhaidy Alias, 44 dan Zuliana Zakaria, 41, mereka nekad membuat ‘kerja gila’ demi memperoleh kepuasan meneroka bumi tuhan.

Menurut Mohd Suhaidy, terpaksa menempuh perjalanan panjang penuh liku melalui jalan darat sejauh kira-kira 13,500 kilometer (km), menjadi antara cabarannya dan isteri sepanjang kembara itu.

Malah, sepanjang 67 hari perjalanan menaiki motosikal Honda RS150, mereka turut berdepan perubahan cuaca dan pelbagai onak ranjau sebelum berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama isteri tercinta.

Menceritakan kisahnya, jurutera reka bentuk itu berkata, semuanya tercetus apabila isterinya mengajak untuk menunaikan umrah pada 2010.

Ketika itulah timbulnya idea untuk menunggang motosikal dari Melaka ke Mekah yang mana dia terpaksa mengambil masa selama sembilan tahun untuk memujuk isteri dan merancang perjalanan tersebut sebelum ia direalisasikan pada 2019.

“Tidak dinafikan perjalanan panjang memang menguji mental dan fizikal kami terutama bila berada di suatu kawasan asing yang tidak pernah kami lalui sebelum ini.

“Dari situlah mental dan emosi kami diuji terutamanya ketika tiba di India. Tapi pada waktu itu jugalah ia banyak mengajar kami tentang persefahaman sebagai suami isteri, selain bagaimana mengadaptasi dengan adat dan budaya luar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

FB_IMG_1669467780314
MOHD Suhaidy dan Zuliana bergambar bersama motosikal selepas menyempurnakan misi umrah sejauh 13,500km melalui jalan darat. Foto: Kembara Memburu Hikmah 2.0

Bagi Zuliana pula, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika dia dan suami cuba ditahan sekumpulan anak muda ketika berada di Iran.

Pada waktu itu, katanya, walaupun kurang pasti niat kumpulan berkenaan, namun perasaan takut dan gelisah tetap menyelubungi mereka, apatah lagi dengan hanya menunggang motosikal pada ketika itu.

“Mujurlah suami bertindak nekad meredah kumpulan itu dengan memecut motosikal kerana hanya Allah SWT yang tahu niat mereka ketika itu,” katanya.

Zuliana yang merupakan seorang penjawat awam berkata, meskipun beberapa kali diuji sepanjang perjalanan, namun kemanisannya dirasai apabila dia dan suami berjaya melepasi laluan paling sukar di Arab Saudi dan akhirnya tiba di Madinah.

“Lebih manis, kami dapat merasai pengalaman berpuasa di Madinah pada ketika itu kerana terdapat perubahan jadual yang dirangka pada asalnya.

“Ia membuktikan betapa cantiknya perancangan yang Maha Esa kepada kami dalam merealisasikan misi itu,” katanya.

IMG_20221127_000303_840
TUN Mohd Ali menyampaikan Anugerah Khas Tokoh ‘Bikers’ kepada Mohd Suhaidy dan Zuliana pada Melaka Bike Week 2022 di UniMel. Foto Iqmal Haqim Rosman

Kisah inspirasi itu melayakkan suami isteri berasal dari Melaka itu menerima Anugerah Khas Tokoh ‘Bikers’ pada Melaka Bike Week 2022 yang berlangsung di Universiti Melaka (UniMel) pada 25 hingga 27 November.

Anugerah itu telah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

12320
Kongsi :
Previous post Melaka Bike Week 2022 bantu promosi kawasan peranginan Melaka utara
Next post Anwar pengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara
Ubah saiz-+=