Tunai terawih 30 hari, ganjaran RM150
SEMABOK 3 April- Ganjaran sebanyak RM150 buat anak-anak berusia 18 tahun ke bawah yang solat sunat tarawih secara konsisten selama 30 hari bermula hari ini di Surau Ar Redhuan di Taman Semabok Perdana.
Timbalan Pengerusi Surau Ar Redhuan Taman Semabok Perdana, Abu Husin Ismail berkata ganjaran itu merupakan galakan buat mereka untuk hadir dan mengikuti ibadah sepanjang Ramadan.
Katanya, kanak-kanak dan remaja perlu ikut serta dan lengkap berjemaah solat tarawih 20 rakaat termasuk solat sunat witir tiga rakaat.
“Inisiatif ini merupakan galakan untuk golongan remaja serta kanak-kanak ikut berjemaah dan kita ingin mereka membiasakan diri dengan solat sunat tarawih 20 rakaat.
“Untuk golongan remaja wanita bawah 18 tahun kita beri sedikit kelonggaran dengan hanya 20 hari ikut serta dan kita beri ganjaran RM150.
“Untuk menyertai, mereka perlu jujur isi nama dalam buku kehadiran setiap kali hadir, dan kita sasarkan dalam 40 remaja tahun ini akan dapat ganjaran ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tambahnya, pemberian insentif itu merupakan yang pertama kali dilakukan di surau terbabit.
Ujarnya, pemberian ganjaran itu buka dari tabung surau dan ada individu yang menaja untuk diberikan kepada remaja dan kanak-kanak yang hadir berjemaah solat tarawih di surau itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.