Sorting by

×

Tunai amanah waris wakafkan tanah untuk sekolah agama

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LINGGI 27 April. – “Kami hanya melaksanakan amanah diberikan beberapa arwah bapa saudara kami supaya tanah Allahyarham Siti Mariah Shamsuddin diwakafkan untuk pembinaan sekolah agama.

“Alhamdulillah, hari ini sudah tersergam indah Sekolah Rendah Agama (SRA) Ujong Padang yang memberi manfaat kepada murid sekitar Kampung Ujong Padang dan beberapa kampung sekitarnya untuk mengikuti pembelajaran,” kata anak saudara arwah Siti Mariah, Datuk Ghazali Othman, 62.

Beliau berkata, pahala mewakafkan tanah untuk pembinaan sekolah agama amat besar ganjarannya dan ia mengalir bagaikan sungai tanpa henti.

Itulah yang menjadi pegangan adik-beradik arwah Siti Mariah yang meninggal dunia beberapa tahun lalu sebelum sebulat suara mewakafkan tanah seluas kira-kira 0.8 hektar miliknya di Kampung Ujong Padang, Kuala Sungai Baru, di sini untuk diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Ghazali berkata, arwah tidak mempunyai anak kerana tidak pernah berkahwin dan selepas kematiannya, beberapa adik-beradiknya mengadakan perbincangan.

“Mereka akhirnya sebulat suara mewakafkan tanah seluas kira-kira 0.8 hektar itu kepada MAIM selepas mendengar berita MAIM sedang berusaha mendapatkan tanah untuk membina sekolah agama,” katanya selepas majlis perasmian sekolah berkenaan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali baru-baru ini.

Pada majlis itu, Sulaiman menyampaikan penghargaan kepada Ghazali dan adik ipar arwah Siti Mariah, Ramli Ahmad, 76.

Sekolah berkenaan dibina JAIM dengan kos kira-kira RM2 juta dan mula beroperasi sebulan lalu bagi memberikan kemudahan pembelajaran KAFA kepada lebih 200 murid.

Ghazali berkata, waris arwah Siti Mariah bersetuju menamakan sekolah itu sebagai SRA Ujong Padang Haji Shamsuddin sempena mengambil nama bapa arwah Siti Mariah.

“Kami berdoa agar amal jariah atas nama arwah Siti Mariah diberikan ganjaran bak sungai yang mengalir selama sekolah itu dimanfaatkan anak kampung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

723
Kongsi :
Previous post 10,000 anggota bomba siap siaga menjelang Aidilfitri
Next post Dua peniaga tidak mengaku setuju terima suapan RM30,000
Ubah saiz-+=