Tun Mohd Ali beri kejutan di MITC
AYER KEROH 13 Oktober – Kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Karnival Kerjaya MyFuturejobs Negeri Melaka hari ini, memberi kejutan kepada orang ramai yang sedang mencari pekerjaan.
Ketibaan beliau kira-kira jam 3 petang di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu disambut Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Pada lawatan itu, Tun Mohd Ali diberikan penerangan oleh kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengenai kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh setiap majikan pada karnival itu.
Tun Mohd Ali juga berkesempatan singgah di gerai pempamer yang disediakan selain beramah-mesra bersama orang ramai yang hadir.
Sejurus itu, Tun Mohd Ali turut melawat pameran Smart Melaka International Conference and Expo 2023 (SMIX2023) yang diadakan di kawasan sama.
Beliau singgah di gerai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mendengar penerangan mengenai perkhidmatan MCMC serta beberapa gerai lagi sebelum berangkat pulang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.