Tun Dr. Mohd Ali ucap tahniah kepada Ketua Menteri

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 4 Jun – Pelbagai pencapaian yang diraih oleh Negeri Melaka membuktikan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berada pada landasan tepat.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam merakamkan sekalung tahniah kepada Ketua Menteri di atas pencapaian lebih 60 inisiatif untuk rakyat, selain pelbagai kejayaan lain yang dilakar sepanjang tahun ini.

“Saya mengambil maklum antara inisiatif yang diperkenalkan seperti Car Free Zone di sekitar kawasan Bangunan Merah Red Square Stadthuys, Banda Hilir, selain memperkenalkan Kampung Digital bagi memodenkan komuniti kampung serta inisiatif No Right Turn mengatasi kesesakan lalu lintas.

“Saya percaya semua inisiatif yang dilaksanakan adalah yang berimpak tinggi dan memberikan manfaat serta memudahkan rakyat.

“Justeru saya berharap Kerajaan Negeri akan sentiasa proaktif dan konsisten memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat Melaka khasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Sempena Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Penggal Kedua di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tun Dr. Mohd Ali turut berbesar hati dengan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang berlangsung gilang-gemilang dan terus memacu pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

Beliau merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana begitu komited dalam mempromosikan TMM2024, selain memperkenalkan produk-produk pelancongan baharu.

“Saya amat berbesar hati dengan berlangsungnya acara-acara besar seperti Sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharaan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68, Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024, Sambutan Hari Belia Negara, Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan dan lain-lain acara besar diadakan di Negeri Melaka.

“Sehubungan itu, saya berharap Kerajaan Negeri akan sentiasa konsisten menambah baik kualiti dan imej Negeri Melaka sebagai negeri yang paling bersih dan paling selamat untuk dikunjungi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

132
Kongsi :
Previous post Lebih 4,000 rakyat ikuti Telegram MYMELAKANEWS
Next post Sultan Ibrahim berkenan hadiri jamuan teh bersama rakyat Melaka
Ubah saiz-+=