Tun Dr. Mohd Ali mahu rakyat Melaka saling berkasih sayang, tolak ansur

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 4 Jun – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam mahu keharmonian rakyat di negeri ini terus dikekalkan.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan sejarah Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang terkenal dengan suasana harmoni daripada kepelbagaian kaum, perpaduan menjadi kunca utama dalam memastikan rakyat mengecap kemakmuran.

Untuk itu, beliau turut menzahirkan harapan agar rakyat Melaka saling berkasih sayang dan sentiasa bertolak ansur di antara satu sama lain.

“Usaha untuk mengekalkan keharmonian bukan satu perkara yang mudah. Justeru, semua lapisan masyarakat tidak kira di peringkat pemimpin mahupun anak kecil perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian yang telah kita kecapi selama ini.

“Pada masa yang sama, kita hendaklah menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum.

“Walaupun rakyat diberi kebebasan bersuara, kita hendaklah tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang akan merosakkan rasa muhibah dan perpaduan sesama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Sempena Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Penggal Kedua di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Istiadat angkat sumpah itu disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis dan Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Hadir sama pada istiadat itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Zuriyah Ab Aziz; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Hakim Mahkamah Tinggi Melaka Mohd Radzi Abdul Hamid dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

84
Kongsi :
Previous post Ekonomi Melaka diunjur berkembang sejajar KDNK nasional
Next post Lebih 4,000 rakyat ikuti Telegram MYMELAKANEWS
Ubah saiz-+=