Tun Dr. Mohd Ali mahu program keagamaan terus subur di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 24 Ogos – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam sentiasa memberi sokongan penuh terhadap program keagamaan yang dianjurkan di negeri ini.

Ia dapat dilihat apabila beliau sentiasa melapangkan masa untuk menghadiri program berbentuk keagamaan yang subur di bumi Melaka.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, Tun Dr. Mohd Ali bukan hanya menyumbang idea dan buah fikiran dalam pembangunan negeri, bahkan sentiasa memberi pandangan dalam tadbir urus berkaitan agama Islam.

Malah, sebati dengan gelaran pemimpin berjiwa rakyat, Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7 itu mengambil peluang daripada program berbentuk keagamaan untuk mendekati dan menyantuni rakyat, khususnya umat Islam.

“Tun Dr. Mohd Ali sentiasa mencari masa dan cuba untuk menghadirkan diri ke majlis atau program keagamaan yang dianjurkan meskipun berdepan jadual harian yang padat.

“Malah, beliau sentiasa menyokong semua program keagamaan yang dianjurkan, bukan sahaja oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tetapi juga semua pihak.

“Setiap hari Jumaat pula, beliau sering bergilir-gilir ke masjid di seluruh Negeri Melaka untuk menunaikan Solat Jumaat bersama-sama rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, Tun Dr. Mohd Ali juga seorang yang ‘tidak lokek’ dalam berkongsi ilmu, terutamanya banyak menyumbang idea dan pandangan membabitkan pembangunan Islam di Melaka.

“Beliau seorang yang suka memberikan idea dan pandangan untuk melihat sesuatu itu dapat dilaksanakan dengan baik serta memberi impak positif.

“Keperibadian dan kepimpinan yang dimiliki membuatkan beliau senang untuk didekati, selain boleh bertukar pendapat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

111
Kongsi :
Previous post Bandar Botani Parkland Jasin sedia 4,000 unit kediaman
Next post e-Sukan tambah pingat emas untuk Melaka
Ubah saiz-+=