Tumpu program ilmiah bantu belia Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR 27 Dis. – Melaka akan memberi tumpuan penuh kepada program berbentuk ilmiah untuk membantu para belia negeri ini menghadapi cabaran pandemik COVID-19 menjelang Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, program sedemikian penting untuk diperkasakan dalam usaha memastikan golongan belia sentiasa bersedia dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi yang berlaku pada masa kini.

Jelasnya, pelbagai program kini sedang dan akan dirangka pihaknya bersama agensi terbabit bagi merealisasikan matlamat tersebut.

“InsyaAllah kita akan tumpu kepada program-program yang boleh menambah ilmu pengetahuan dalam usaha memastikan para belia dapat mengharungi cabaran ketidaktentuan ekonomi sepanjang musim pandemik COVID-19.

“Banyak program yang sedang dan akan dirangka dan dianjurkan yang mana kita yakin program-program ini dapat membantu belia menambah pendapatan sepanjang tempoh sukar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Melaka Weekly Fun Ride di Kota A Famosa, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan Pengajian Tinggi Teknikal & Vokasional, Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad.

Dalam program itu, Mohd Rafiq bersama Noor Effandi dan kira-kira 150 para belia berbasikal di beberapa kawasan dalam kawasan Parlimen Kota Melaka bertujuan untuk mempromosikan budaya bersukan dalam komuniti.

Selain berbasikal, beliau turut meluangkan masa bertemu orang ramai dan mengedarkan pelitup muka percuma dalam program berkenaan.

Beliau berharap aktiviti bersukan dan kesukarelawanan itu dapat dijadukan contoh buat anak muda di luar sana untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan bergerak seiring dengan kerajaan untuk membantu masyarakat.

Views:

340
Kongsi :
Previous post Hotel, chalet di Melaka ‘laris’
Next post Mayat bakal pengantin ditemukan
Ubah saiz-+=