
TUMBUK KEPALA PENUNGGANG MOTOSIKAL, LELAKI DITAHAN POLIS
AYER KEROH 17 Mac – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memukul kepala seorang penunggang motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Kota Shahbandar, di sini, awal pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan keatas suspek berusia 25 tahun itu dibuat petang semalam sejurus pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian.
“Suspek yang dipercayai terbabit dalam insiden itu ditahan kira-kira jam 3 petang di kawasan Kota Shahbandar.
“Dia ditahan untuk diambil keterangan seterusnya membantu siasatan mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut Christopher, kira-kira jam 2 pagi Ahad, suspek dipercayai secara tiba-tiba turun dari kenderaan Toyota Vellfire bewarna hitam dinaikinya lalu menumbuk belakang kepala mangsa.
“Ketika kejadian mangsa sedang menunggu lampu isyarat dan akibat tindakan suspek itu, mangsa kemudian turun daripada motosikal lalu menolak lelaki tidak dikenalinya itu.
“Melihat kejadian itu, pengguna jalan raya yang kebetulan berada di lokasi kejadian datang membantu mangsa dan suspek kemudian masuk ke dalam kenderaannya lalu melarikan diri,” katanya.
Jelasnya, ketika kejadian suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Terdahulu, video kejadian berdurasi 47 saat yang menunjukkan penunggang motosikal dikasari seorang lelaki tular di media sosial
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.