Tukun konkrit jamin kelangsungan hidupan marin
SERKAM 30 Okt. – Jabatan Perikanan Melaka melabuhkan 15 tukun konkrit bernilai RM300,000 di perairan Pulau Besar bagi menjamin kelangsungan pembiakan sumber ikan dan haiwan marin.
Pengarahnya, Mohd Fauzi Salehon berkata, langkah itu dibuat kerana Pulau Besar telah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan mengikut Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 yang mencegah aktiviti menangkap hidupan marin.
Katanya, ia penting bagi membantu menggalakkan pembiakan ikan dan sumber marin, yang jika tidak dipulihara, akan pupus akibat pelbagai faktor, terutama akibat penangkapan ikan di kawasan larangan.
“Peletakan tukun adalah satu daripada kaedah menambah tempat pembiakan ikan kerana ia berfungsi sebagai perumah untuk ikan dan sumber marin membiak serta berkumpul.
“Sumber perikanan itu akan berhijrah ke perairan lain dan ia mampu meningkatkan jumlah tangkapan ikan nelayan di perairan yang dibenarkan,” katanya di sini, hari ini.
Kerja meletakkan tukun itu dilaksanakan syarikat kontraktor yang menyediakan ponton untuk mengangkut tukun dan jentera pengangkat serta bot tunda ponton.
Beliau berkata, setakat ini hanya Pulau Besar sudah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan mengikut Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 yang mencegah aktiviti menangkap ikan, manakala Pulau Undan masih belum diwartakan mengikut undang-undang berkenaan.
“Apabila diwartakan sebagai Taman Laut, segala aktiviti menangkap ikan, mengambil, memindahkan serta memusnahkan batu karang di perairan satu batu nautika kedua-dua pulau berkenaan adalah dilarang sama sekali.
“Kajian mengenainya sudah beberapa kali dilakukan, termasuk ekspedisi mengenal pasti jenis batu karang dan ikan di sekitar kedua-dua pulau berkenaan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Difahamkan gugusan Pulau Besar terbahagi kepada sembilan pulau, iaitu Pulau Besar, Hantu, Serimbun, Lalang, Dodol, Nangka, Hanyut, Burung dan Undan, tetapi hanya Pulau Besar diwartakan mengikut peraturan itu dan sesiapa menangkap ikan di perairan satu batu nautika boleh didakwa mengikut Seksyen 25(b) Akta Perikanan 1985.
Mengikut peraturan untuk menjadikan Taman Laut, perairan dua batu nautika diwartakan sebagai kawasan larangan aktiviti menangkap ikan dan mengambil batu karang, tetapi bagi Pulau Besar dan Pulau Undan, jabatan itu mencadangkan hanya satu batu nautika selepas mengambil kira kepentingan nelayan untuk mencari rezeki.
Katanya, sebelum larangan itu dikuatkuasakan, aktiviti menangkap ikan secara berlebihan di perairan Pulau Besar telah menyebabkan kerosakan batu karang, selain menghalang pertumbuhan karang secara semula jadi.
Berdasarkan kajian Jabatan Perikanan sejak pertengahan 2018, terdapat 81 spesies karang keras di perairan Melaka, khususnya di gugusan pulau itu dengan lima daripadanya spesis karang yang menghadapi risiko mengalami kepupusan.
Tambah Mohd Fauzi, pihaknya turut bercadang bercadang meletakkan lebih banyak tukun bukan setakat di perairan Pulau Besar, malah pulau lain yang dikenal pasti tiada akviti penangkapan ikan.
“Pulau Besar dan Pulau Undan, kira-kira dua batu nautika dari Umbai dicadangkan untuk dinaik taraf sebagai Taman Laut berdasarkan kekayaan terumbu karang dan sumber perikanan,” katanya.