Sorting by

×

Tukar MB tiga kali sejak PRU14, cerminan kegagalan kepimpinan politik – Sultan Nazrin

Masa Membaca:2 Minit, 40 Saat

KUALA KANGSAR 10 Dis. – Pelantikan Menteri Besar Perak sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan sejarah yang perlu dibanggakan tetapi merupakan cerminan kegagalan kepimpinan ahli-ahli politik untuk mendapatkan jaminan sokongan padu secara konsisten.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah kegagalan itu menyebabkan ahli-ahli politik tidak boleh menumpukan fikiran dan tenaga untuk mentadbir urus negeri secara terbaik  bagi kepentingan rakyat.

Titah baginda, istiadat pelantikan Menteri Besar yang telah tiga kali diadakan sejak PRU14 juga mencatatkan sejarah baharu yang  tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri sebelum ini.

“Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang  mahu dibanggakan, perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan,” titah Sultan Nazrin pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Pada istiadat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14.

Baginda bertitah rakyat menaruh kepercayaan dan meletakkan harapan kepada wakil rakyat untuk menambah baik kawasan tempat tinggal mereka, membantu menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmatan, membantu meningkatkan taraf ekonomi serta membantu memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka.

Titah baginda, rakyat pelbagai kaum dan agama dalam semua  kawasan diwakili Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) mempunyai keperluan dan harapan yang sama, menanggung penderitaan serta menagih perhatian yang sama.

“Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik COVID-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.

“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk  dimakbulkan Illahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud,” titah baginda.

Sultan Nazrin juga bertitah insan beriman akan cekal menegakkan yang makruf, menentang  kemungkaran dan kekuatannya, perlindungan dan benteng ketahanan kepada dirinya datang  daripada llahi.

“Dia tidak perlu menawarkan sogokan atau  imbuhan untuk mendapat sokongan yang belum terjamin berkembar dengan kesetiaan, begitu juga dia tidak perlu melakukan ugutan  atau ancaman untuk membina kekuatan diri kerana kekuatan yang diperoleh secara  demikian teramat rapuh sifatnya,” titah Sultan Nazrin.

Terkenal sebagai Sultan yang sering membuat teguran secara lantang, Sultan Nazrin bertitah sifat sebenar seseorang itu akan terserlah ketika beliau mendapat jawatan, kuasa, memiliki kekayaan dan harta sehingga lenyap budaya kesederhanaan dan merendah diri, sebaliknya menjelmakan sifat sombong dan gelagat  bongkak.

“Beringatlah, semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin telah berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan,” titah baginda.

Sultan Nazrin dalam pada itu turut menzahirkan titah terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang telah melaksanakan tugas Menteri Besar sejak  12  Mei 2018 serta kepada Ahli Majlis Mesyuarat  Kerajaan atas perkhidmatan diberikan dalam  tempoh perkhidmatan mereka.

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap para petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta, Ipoh dalam keadaan panas terik dan berhujan demi  melaporkan serta menyiarkan berita secara  bertanggungjawab kepada rakyat jelata.

“Demikian juga kepada para anggota polis  yang telah membantu mengawal keadaan bagi membolehkan pelbagai pihak melaksanakan  tugas masing-masing secara tenteram  dan teratur,” titah Sultan Nazrin.

— BERNAMA

Views:

856
Kongsi :
Previous post Sebut harga projek Air Panas Gadek awal tahun depan
Next post 122,606 premis berisiko wabak denggi diperiksa
Ubah saiz-+=