Sorting by

×

Tukar kerjaya untuk hidup

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Nov. – Jika sebelum pandemik COVID-19, pengusaha bot pisang mampu memperoleh pendapatan mencecah RM1,000 sehari, sekarang mereka terpaksa beralih kerjaya.

Itulah yang terpaksa dilalui pengusaha bot pisang, Amirul Azim Kamarulzaman, 22, sejak pandemik COVID-19 mendorong kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyebabkan pelancong berkurangan.

Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu sebelum digantikan dengan PKPB pada Jun 2020 dan sekali lagi PKPB dilaksanakan pada 9 November lalu, pengusaha bot pisang di pantai peranginan Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, di sini tidak mampu beroperasi.

AMIRUL (kiri ) mengangkat hasil tangkapan di pengkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Bagaimanapun, hidup harus diteruskan dan untuk mendapatkan rezeki, Amirul terpaksa beralih menjadi nelayan sepenuh masa dengan menggunakan jaring atau pukat dan rawai, iaitu ribuan mata pancing sebagai sumber penangkapan ikan.

Amirul berkata, sebelum PKP dilaksanakan, beliau tidak menang tangan untuk membawa pelancong menaiki bot pisang yang ditarik dengan bot yang menggunakan enjin 40 kuasa kuda meredah ombak di pinggir pantai.

“Bot pisang itu mampu memuatkan 10 orang dengan kadar bayaran RM10 setiap penumpang dengan tempoh pelayaran antara 20 hingga 30 minit.

“Saya menunda penumpang membelah ombak di pinggir pantai hingga satu batu nautika dari pantai untuk menggembirakan hati mereka hingga mereka benar-benar puas menaiki bot pisang,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak hari ini.

Amirul menjual ikan tamban yang ditangkap di pengkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 menyebabkan pelancong semakin berkurangan hingga ada kalanya sukar untuk beliau mendapatkan walau 10 penumpang, sekali gus memaksa beliau beralih kepada kerjaya menangkap ikan.

“Sebagai nelayan, pendapatan saya tidak menentu, bergantung kepada jumlah tangkapan dan ada kalanya langsung tiada pendapatan kerana tiada ikan yang kami
dapat,” katanya.

Amirul berkata, ada ketika beliau dan awak-awak terpaksa bertarung dengan ribut yang kadang kala turun secara tiba-tiba sebelum sempat mereka naik ke darat.

Kesengsaraan mencari rezeki di laut mengajar Amirul bahawa titik peluh yang membasahi tubuh tidak seharusnya terbayar dengan hasil tangkapan yang banyak, sebaliknya ia bergantung sepenuhnya kepada rezeki yang ditentukan Allah.

Bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana modal yang digunakan untuk mendapatkan bot pisang, bot penunda dan enjin motor sangkut 40 kuasa kuda sudah berjaya diperoleh semula hasil operasi perkhidmatan bot berkenaan sebelum pandemik itu bermula.

Selepas hanya setahun beroperasi, modal yang mencecah hampir RM150,000 sudah berjaya diperoleh semula tetapi beliau terpaksa melalui detik sukar apabila pandemik itu mengakibatkan PKP dikuatkuasakan dan sekarang PKPB pula berlanjutan hingga 6 Disember depan.

Views:

815
Kongsi :
Previous post APM Melaka siap siaga hadapi air pasang besar hari ini
Next post Angin barat bantu pulih hakisan pantai
Ubah saiz-+=