Sorting by

×

Tukang kayu juara memancing, bawa pulang RM25,000

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

PANTAI KUNDOR 4 April. – “Saya sifatkan wang tunai RM25,000 hadiah pertandingan joran ini sebagai rezeki sembilan hari menjelang Ramadan al-Mubarak untuk saya sekeluarga,” kata tukang kayu, Sapri Tandi, 52, yang menjuarai Cabaran Memancing Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini hari.

Bapa kepada empat anak berusia antara 14 hingga 25 tahun itu menaikkan ikan kurau seberat 885 gram pada jam 10 pagi.

Katanya, berkat daripada kesabaran mencangkuk cacing pasir yang digabungkan dengan udang hidup pada satu mata kail, membawa kejayaan amat bermakna itu.

SAPRIL (dua dari kanan) berkongsi kegembiraan muncul johan Cabaran Memancing Pantai Puteri, Tanjung Kling dengan Nor Azman (tiga dari kanan) dan tetamu orang kenamaan (VIP) yang lain di Balai Budaya, Pantai Puteri hari ini.

“Alhamdulillah, Allah memurahkan rezeki saya kali ini selepas berkali-kali menyertai pertandingan joran di pantai ini sebelum ini.

“Saya amat bersyukur, Ramadan membawa khabar gembira buat saya dan insya-Allah saya akan gunakan wang itu untuk kepentingan keluarga,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan hadiah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan di Balai Budaya Pantai Puteri, di sini.

Pertandingan anjuran Wak Jali Event Management itu dimulakan pada jam 8.30 pagi sebelum berakhir empat jam kemudian dalam keadaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Naib johan dimenangi Samsuri Sulaiman yang membawa pulang wang tunai RM7,000 dan tempat ketiga dimenangi Khairul Anuar Khalid (RM3,000).

Sapri dari Kampung Pengkalan Lanjut, Tanjung Kling berkata, sebelum menaikkan kurau, beliau terlebih dahulu memperoleh dua gelama seberat 500 gram.

“Pada jam 10 pagi, tiba-tiba saya rasa mata kail disentap perlahan tetapi saya biarkan sehinggalah sentapan kali kedua yang lebih kuat.

“Saya sentap tali dan ketika menggulung tangsi, saya rasakan mata kail berat ke arah kiri dan saya sudah mengagak, kalau bukan ikan senangin, mungkin kurau,” katanya.

Hujan lebat dari jam 8 pagi sebelum renyai-renyai menjelang jam 10 pagi sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk mencuba nasib dalam pertandingan itu.

“Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan Allah kali ini dan kesejukan yang saya tanggung akibat hujan lebat, terbayar dengan kurau yang muncul dari muka ombak,” katanya.

Sehubungan itu, kejayaan berkenaan menguatkan semangatnya untuk mencuba nasib dalam pertandingan akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1190
Kongsi :
Previous post Lelaki maut kereta langgar pokok selepas 25 kilometer dikejar polis
Next post Kerajaan sedia pelan sokongan jika terpaksa tangguh guna vaksin AstraZeneca
Ubah saiz-+=