Tukang jahit ‘PKP’ ikon Usahawan KEMAS Melaka 2024

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 8 Julai – Keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika era pandemik COVID-19 lalu memaksa seorang pengusaha perkhidmatan sewa sistem siar raya (PA System) Suntuk mengubah strategi perniagaan kepada menjahit.

Bermodalkan RM250 untuk membeli mesin jahit mudah alih pada tahun 2021, Norashekin Daud, 43, kini berjaya membuka sebuah butik di Alor Gajah yang dilengkapi tiga mesin jahit industri dan mampu menggajikan empat pekerja.

Hasil kegigihan dan kecekalan dari bertatih belajar menjahit sehingga mahir, ibu kepada tiga anak itu diangkat sebagai penerima Anugerah Ikon Usahawan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Melaka 2024.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin pada Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku KEMAS Negeri Melaka Tahun 2024 di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, semalam.

Berkongsi cerita, Norashekin berkata, KEMAS banyak membantunya dengan menyediakan pelbagai bantuan buat golongan wanita yang mahu memulakan asas perniagaan.

“Pada awalnya, saya memang tidak pandai menjahit, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama yang pada masa itu semua orang tidak dibenarkan keluar, jadi peniaga macam saya tidak dapat menjalankan perniagaan.

“Kalau tak boleh kerja, nak makan apa? Itu juga yang suami fikir, jadi kami beralih kepada perniagaan dalam talian, suami yang merupakan kontraktor turut membantu menjual barangan secara dalam talian untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya pula terfikir, PKP betul-betul membuka mata saya dan saya maklum pada suami, mahu belajar menjahit dan KEMAS ketika itu ada membuka kelas ilmu jahitan secara dalam talian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Norashekin, hasil bimbingan KEMAS, dia kini mampu membuka butik sendiri dan meraih pendapatan lumayan pada setiap bulan.

“KEMAS banyak membimbing usahawan seperti saya, dan alhamdulillah pelbagai projek dan tender untuk menjahit baju korporat dari kerajaan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang kami terima saban tahun,” ujarnya.

Menyedari cabaran ekonomi masa kini, Norashekin turut menyeru lebih ramai golongan wanita untuk keluar dari kepompong selesa bagi membantu keluarga.

“Nasihat saya kepada wanita di luar sana, untuk beranikan diri dan perlu ada semangat juang yang tinggi terutama ketika menghadapi pelbagai dugaan dan kesukaran.

“Suka juga diingatkan, bidang keusahawanan ini memerlukan minat dan komitmen yang tinggi, anda perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan tentang selok-belok perniagaan,” tambahnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1478
Kongsi :
Previous post Bekas penyewa tinggalkan bom mortar dalam rumah di Merlimau
Next post Artifak Melaka di Belanda akan dipamerkan di muzium
Ubah saiz-+=