Sorting by

×

Tukang gunting, tauke cuci kereta tarik nafas lega

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

MASJID TANAH 6 Feb. – “Alhamdulillah, saya ambil peluang ini sehabis baik apabila dibenarkan beroperasi semula, sekurang-kurangnya saya dapat jana pendapatan dalam tempoh sukar ini,” kata tukang gunting rambut, Asrul Azhar, ketika ditemui Melaka Hari Ini di kedainya.

Dia antara pengusaha di sektor perkhidmatan gunting rambut, peniaga pasar malam dan khidmat mencuci kereta di negeri ini yang menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi semula oleh kerajaan mulai semalam.

ASRUL bersyukur kerajaan benarkan perkhidmatan gunting rambut beroperasi semula dengan SOP lebih ketat.

Asrul yang juga pengurus Simpang Barbershop berkata, dia bersyukur sebaik mendengar pengumuman dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang kelmarin dan tidak sabar untuk membuka kedai guntingnya.

“Macam tak percaya bila dengan pengumuman itu, tapi bila sudah jelas saya nekad membuka kedai seperti biasa demi memenuhi permintaan pelanggan.

“Alhamdulillah sambutan agak baik hari ini (semalam), malah ada pelanggan yang sanggup menunggu kerana saya seorang saja bekerja.

“Hari pertama ini saya dapat hampir 20 pelanggan setakat jam 6 petang tadi (semalam). Mujur dua rakan datang membantu pada sebelah petang nanti hingga 10 malam,” katanya ditemui di kedainya semalam.

Menurut Asrul yang berpengalaman 10 tahun sebagai tukang gunting rambut, sebelum pandemik COVID-19 melanda, setiap hari kira-kira 50 pelanggan datang bergunting rambut di kedainya.

“Apapun saya bersyukur dapat terus memberikan perkhidmatan ini dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat iaitu mengehadkan pelanggan yang masuk ke dalam kedai selain menukar apron dan sarung tangan pakai buang mengikut pelanggan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati kedai mencuci kereta di Jalan Komersial, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh ‘diserbu’ pelanggan yang sanggup beratur panjang di dalam kereta masing-masing untuk mendapatkan perkhidmatan itu.

Penyelia Classy N Clean Auto Detailing, Mohammad Haziq Zahidi, 28, berkata, kedai yang dibuka sejak jam 10 pagi itu menerima kira-kira 25 pelanggan pada hari pertama semalam.

MOHAMMAD Haziq

Katanya, dia akur dan melaksanakan SOP lebih ketat seperti mengehadkan kemasukan pelanggan di ruang menunggu dan memastikan mereka mendaftar dengan MySejahtera.

“Syukur dapat buka kedai semula kerana inilah punca pendapatan saya sejak lima tahun lalu.

“Jika kerajaan tidak beri peluang, malah PKP 2.0 pun dilanjutkan hingga 18 Februari ini, memang buntu untuk mencari pekerjaan lain dengan keadaan simpanan yang tidak menentu dan semakin berkurang.

“Jadi dalam tempoh ini kami akan terus berusaha menarik lebih ramai pelanggan dengan pelbagai pakej menarik termasuk sanitasi kenderaan bagi menjana lebih pendapatan dan mampu menggaji pekerja muda dengan upah harian,” katanya.

Terdahulu, kerajaan bersetuju membenarkan kedai gunting rambut, kedai cuci kereta dan pasar malam beroperasi hingga 10 malam sepanjang tempoh PKP 2.0 dikuatkuasakan hingga 18 Februari ini.

Begitupun, perkhidmatan facial atau kecantikan masih tidak dibenarkan.

Views:

1510
Kongsi :
Previous post Bantu ibu muda ini cari ikhtiar besarkan 6 anak selepas kematian suami
Next post Takiyuddin sifatkan penulisan buku Tommy Thomas mengenai AGC dan mahkamah sebagai karut, ‘mala fide’
Ubah saiz-+=