
TUKANG GUNTING RAMBUT MAUT MOTOSIKAL TERBABAS
MERLIMAU 23 April – Tukang gunting rambut maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai terbabas sendiri di Jalan Melimau – Jasin, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa V Saravanan Kumar, 49, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 sedang dalam perjalanan menghala ke arah Jasin sebelum dipercayai terbabas ke dalam longkang di tepi jalan.
“Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau kaunter aduan trafik IPD jasin di talian 06-5292222 (sambungan 260).
Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati semasa memandu atau menunggang kenderaan terutama pada waktu malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.