Sorting by

×

Tukang gunting rambut di Jasin cemerlang STPM 2022

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PENGKALAN BATU 14 Julai – Perlu membahagikan masa di antara pelajaran dan pekerjaan menjadi antara cabaran yang perlu ditempuh seorang anak muda dari Jasin, Amar Afandi Mohd Zin.

Namun, remaja itu membuktikan dengan kecekalan dan tekad yang tinggi dia mampu beroleh kejayaan apabila menjadi antara calon cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022, dengan memperoleh Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Amar Afandi menjadi calon tunggal dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah yang tersenarai sebagai 46 pelajar cemerlang di Negeri Melaka.

Dia yang menetap di Kampung Rim berkata, kerja sambilan sebagai tukang gunting rambut di sebuah kedai di Jasin sejak semester tiga adalah bagi menyara keluarga, selain menampung simpanan untuk melanjutkan pengajian.

Menurutnya, kerja sambilan itu bermula sebaik pulang dari sekolah hingga ke dinihari pada setiap hari.

Pemergian arwah bapanya sejak 2014 menjadikan anak bongsu daripada lima beradik itu bertekad untuk menggalas tanggungjawab untuk keluarga dengan pendapatan RM1,100 sebulan.

“Saya ambil keputusan sebab nak bantu ibu malah saya pilih pekerjaan ini sebab saya mahu tambah kemahiran saya memandangkan kerjaya ini boleh menjadi sumber pendapatan tambahan apabila saya bekerja nanti.

“Ada masa sewaktu kerja saya akan mengulangkaji pelajaran sementara menunggu pelanggan datang.

“Alhamdulillah berkat membahagikan masa antara pelajaran dan pekerjaan termasuk iringan doa ibu, guru-guru dan rakan-rakan, saya berjaya memperoleh keputusan cemerlang ini,” katanya.

Amar Afandi berkata, dia berhasrat akan melanjutkan pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk bergelar pendidik.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru sejarah. Alhamdulillah minggu lepas saya dipanggil untuk menjalani temuduga dan kini sedang menunggu panggilan sekiranya diberikan rezeki untuk melanjutkan pengajian di UPSI,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6323
Kongsi :
Previous post Pelbagaikan penggunaan bahasa di sekolah hadapi cabaran pendidikan digital – Exco
Next post Jualan Madani Koperasi galak orang ramai berbelanja di koperasi
Ubah saiz-+=