Tukang cuci berjaya hantar anak belajar ke Perancis
PAYA RUMPUT 9 Ogos – Berkhidmat sebagai tukang cuci atau pekerja pembersihan bukan penghalang untuk seorang ibu, Aisah Iberahim, 49, menghantar anaknya melanjutkan pengajian hingga ke Perancis.
Aisah yang berkhidmat selama 15 tahun bersama SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengakui bersyukur apabila anak ketiganya, Jeffry Jais Jamaludin, 21 terpilih menjadi pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk belajar di negara Eropah itu.
Pada awalnya, Aisah dan suami Jamaludin Kamis, 59, yang juga bekas pemandu lori daripada syarikat sama mengakui banyak perkara bermain di fikiran mereka kerana bimbang pembelajaran anaknya memerlukan kos yang tinggi.
Namun, demi melihat anaknya berjaya dan tidak mengikut jejak langkahnya dan suami, mereka merelakan dan berharap kejayaan mendampingi anaknya kelak.
“Bagi saya bila sudah dapat sekolahkan anak-anak sudah syukur kerana untuk meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi mengharapkan mereka belajar hingga ke luar negara sudah pasti saya dan suami tidak mampu.
“Namun kejayaan anak ketiga kami ini yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke Perancis bagaikan hadiah terindah buat keluarga, sesuatu yang tidak pernah dijangka dengan keadaan keluarga kami.
“Sebagai ibu sudah pasti kita gembira walaupun pada masa sama bimbang dengan kehidupan anak di negara itu. Saya dan suami tidak membantah ketika anak menyampaikan berita gembira itu walaupun jauh di sudut hati risau akan kos perbelanjaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat SWM Environment, di sini, hari ini.
Menurut Aisah, meskipun gembira anaknya dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara namun jauh di sudut hati dia agak sedih kerana tidak mampu untuk mengirimkan wang belanja setiap bulan kepada anaknya.
Ini kerana menurutnya, pendapatannya dan suami tidak cukup untuk berbuat demikian.
“Sepanjang dua tahun dia melanjutkan pelajaran di sana, saya tidak dapat mengirimkan wang belanja setiap bulan kepadanya, melainkan jika ada wang lebih.
“Alhamdulillah anak memahami keadaan kami malah dia pandai membahagikan wang tajaan yang diperolehinya.
“Sejak di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara Kem Terendak) lagi, Jeffry anak yang pandai berdikari dan berjimat kerana tidak pernah menyusahkan kami ataupun meminta sesuatu di luar kemampuan ibu dan ayahnya,” kata ibu kepada empat anak itu.
Sebagai ibu, Aisah sering mengingatkan anaknya agar tidak cepat selesa dengan kejayaan sekarang kerana masih banyak cabaran menantinya selepas ini.
“Saya selalu ingatkan kepadanya peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara belum lagi dikira kejayaan kerana masih jauh lagi perjalanan dan banyak cabaran yang menanti.
“Jadi dia perlu pandai membawa diri selain jangan mudah terpengaruh dengan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Asiah dan suami turut menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke Perancis bagi meraikan konvokesyen anaknya kelak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.