
TUJUH TOKAN DADAH ANTARA 144 DITAHAN DALAM OP SARANG
AYER KEROH 30 Mac – Tujuh ‘tokan dadah’ antara 144 individu yang ditahan sepanjang tiga hari Op Sarang dijalankan di beberapa lokasi, sekitar negeri ini.
Operasi dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu bermula 27 Mac dan berakhir pada Sabtu.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pelaksanaan operasi itu bertujuan menggempur penagih dan pengedar dadah.
Katanya, menerusi operasi itu sebanyak 142 serbuan dilakukan pasukan polis dengan 244 individu telah diperiksa dan daripada jumlah itu 144 ditahan membabitkan pelbagai kesalahan narkotik.
“Daripada tangkapan itu, tujuh yang ditahan ditahan membabitkan kesalahan pengedaran dadah dengan empat daripadanya melakukan kesalahan di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala bakinya melakukan kesalahan di bawah 39A (1) Akta sama.
“Bagi kesalahan memiliki dadah pula, seramai 39 individu berjaya ditahan manakala pasukan polis turut berjaya menahan 12 individu yang dikehendaki polis atau ‘wanted’ atas pelbagai kesalahan kes dadah.
“Seramai 86 orang lagi ditahan kerana disyaki positif dadah selepas ujian saringan air kencing dijalankan pasukan polis ketika serbuan dilakukan,” katanya.
Menurutnya, selain membuat rampasan beberapa jenis dadah pasukan polis turut merampas daun dan air ketum yang kesemunya dianggarkan bernilai RM3,145.
“Antara dadah yang dirampas adalah heroin, syabu, ganja dan kira-kira satu liter cecair ketamin. Turut dirampas tiga kilogram daun ketum beserta lebih 31 liter air ketum.
“Kesemua mereka kini ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan keatas mereka mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 30 (3) Kata Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952,” katanya.
Jelas Dzulkhairi, Polis Melaka akan terus komited untuk membanteras sindiket pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini selain berharap agar seluruh masyarakat dapat maklumat berkaitan aktiviti dadah di kawasan masing-masing terus kepada pihak polis.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.