Tujuh terbabit aktiviti curi kabel telekom ditahan
ALOR SETAR, 17 Mac – Polis menahan tujuh lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia Bhd (TM) di sekitar Baling beberapa serbuan di daerah itu serta Pendang, pada hari Sabtu dan Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata lima lelaki ditahan dalam dua serbuan oleh pasukan daripada Ibu pejabat Polis Daerah Baling di sekitar Kuala Ketil Sabtu lepas, manakala dua lagi ditahan dalam serbuan susulan di Merbau Pulas dan Pendang, Selasa.
“Salah seorang suspek yang ditahan merupakan pengusaha barang lusuh yang membeli barangan curi iaitu tembaga kabel Telekom Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata saringan air kencing mendapati kesemua suspek yang berumur antara 20 hingga 41 tahun itu positif dadah jenis meth dan enam daripada mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.
Katanya modus operandi suspek ialah dengan memotong kabel Telekom bawah tanah dan dan mengikat kabel berkenaan menggunakan tali yang disambungkan kepada kenderaan sebelum menariknya keluar.
Shamsudin berkata kabel itu kemudiannya akan dibawa ke kawasan tepi sungai di Kuala Lesong, Kuala Ketil untuk dibakar bagi mendapatkan tembaga di dalamnya, dan seterusnya akan dijual kepada pembeli dengan harga RM15 hingga RM18 sekilogram.
Beliau berkata polis turut merampas pelbagai jenis barangan yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan itu, antaranya pemotong wayar, pemotong kabel dan gergaji besi, selain peralatan lain termasuk telefon bimbit dan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379 KK, Seksyen 411 KK dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kejadian curi kabel di Baling telah menyebabkan pihak Telekom mengalami kerugian yang tinggi dan menimbulkan gangguan bekalan elektrik kepada penduduk setempat. Dari 1 Jan sehingga hari ini, 14 laporan polis telah dibuat berkaitan kegiatan ini,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.