Tujuh resolusi tuntut penekanan konservasi dan warisan Melaka
KOTA LAKSAMANA 19 Mei – Pelan Pengurusan Konservasi, Rancangan Kawasan Khas dan Tempatan di Tapak Warisan Dunia di negeri ini perlu kajian semula dan ditambah baik dari aspek bangunan warisan.
Ia adalah antara tujuh resolusi yang dicapai pada penganjuran Bengkel Konservasi: Pemulihan Dan Pemuliharaan Warisan Ketara yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa lalu dan berakhir hari ini.
Pengurus Besar PERZIM, Drs Mohd Nasruddin Rahman berkata, ia membolehkan keperluan dan kebenaran aktiviti pada bangunan warisan dikaji semula agar perubahan yang dibuat tidak menjejaskan nilai asal di tapak warisan.
Menurutnya, penganjuran aktiviti perniagaan ketika ini perlu dinilai semula bagi memastikan ianya ada kaitan dengan budaya setempat misalnya Pasar Malam Jonker.
“Terdapat banyak kelemahan dan sudsh tiba masanya perkara ini dinilai semula agar ianya sesuai dengan cabaran pembangunan terkini.
“Dan bagi tujuan itu, kita perlu mengundang seberapa banyak pemain industri swasta bagi mendengar permasalahan dan berkongsi pendapat dengan mereka dalam soal ini,” katanya ketika membentangkan resolusi bengkel itu.
Resolusi lain yang dikemukakan ialah seperti akta, enakmen, rancangan kawasan khas serta pelan pengurusan dan penyelenggaraan konservasi perlu dinilai serta disemak semula prosedur dan garis panduannya.
Ia menurut Mohd Nasruddin, supaya kerja-kerja pemulihan dan pemuliharaan bangunan warisan dapat dilaksanakan secara mampan mengikut keperluan semasa tanpa membelakangkan hak pemilik.
“Kerja konservasi ini penting dalam usaba kita memanjangkan usia sesebuah monumen lama ini, justeru, ia perlu dibuat melalui kaedah dan langkah tepat agar tinggalan sejarah ini dapat terus bertahan serta kekal untuk generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi terlibat, pemaju dan pakar konservasi perlu bersama menangani isu pemuliharaan warisan.
Ia katanya, penting dalam mengatasi masalah premis milik kerajaan negeri ketika ini yang banyak terbiar dalam kawasan Tapak Warisan Dunia.
“Para peserta bengkel juga menuntut ada penyelarasan antara penyelidikan arkeologi dan konservasi dalam melaksanakan kerja pemuliharaan bangunan warisan agar pendokumentasian yang menyeluruh dapat dihasilkan nanti.
“Resolusi juga mahu adanya pemantauan berkala terhadap kondisi bangunan warisan yang sudah diadakan kerja konservasi bagi memastikan tiada kerosakan berulang atau dapat kenal pasti kerosakan awal untuk tindakan segera,” ujarnya.
Menurut Mohd Nasruddin, semua masjid warisan telah menjadi pembangunan setinggan dan bagi tujuan pelan pengurusan konservasi untuk bangunan asal masjid perlu dikemaskini dari semasa ke semasa.
Katanya, satu Pelan Induk Pembangunan Jangka Pendek dan Panjang disediakan bagi tujuan pembangunan tapak kesemua 56 buah masjid warisan yang terdapat di seluruh negeri.
Kesemua resolusi itu akan dibentangkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk perhatian selanjutnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.