Tujuh perkara penting jadikan Melaka negeri mesra pelabur – KM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 19 September – Sebanyak tujuh perkara penting perlu diberikan tumpuan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dalam menjadikan Melaka negeri mesra pelabur.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara-perkara itu perlu diberikan keutamaan sebagai usaha usaha memastikan pembangunan Negeri Melaka berada di tahap lebih baik, khususnya dari segi kesiapsiagaan kawasan industri untuk menerima kehadiran pelabur.

Katanya, semua jabatan dan agensi di negeri ini perlu memainkan peranan penting sebagai pemudah cara terhadap proses-proses pelaburan.

“Tujuh perkara penting yang akan diberi fokus ialah pertama, Penyediaan Pelan Rancangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kedua, Kebenaran Merancang Melalui One Stop Centre (OSC).

“Perkara ketiga pula ialah Penyediaan Kajian Impak Pembangunan (EIA,SIA,HIA,FIA); keempat: Penguatkuasaan Secara Berhemah dan kelima Kaji Semula Peraturan dan Undang-Undangan Yang Tidak Mesra Pelabur.

“Selain itu, perkara keenam ialah Memudahkan Proses Hal Ehwal Tanah dan terakhir Projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ),” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan amanatnya sempena Majlis Perjumpaan Ketua Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco serta ketua-ketua jabatan.

Hampir 500 ketua-ketua dan wakil agensi serta jabatan melibatkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan hadir pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menyuarakan harapan agar semua agensi dan jabatan di negeri ini dapat memberikan kerjasama secara berterusan dalam menjayakan agenda pembangunan Melaka.

“Saya amat berharap kerjasama berterusan daripada semua pihak dapat dilaksanakan agar Melaka kekal menjadi destinasi pelaburan pilihan bukan sahaja di peringkat domestik malah antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post Suhaizan angkat sumpah Ahli Parlimen Pulai, Nik Abduh dilantik Senator
Next post Mesyuarat permudah urusan pelabur perlu diadakan lebih kerap – Ab Rauf
Ubah saiz-+=