Sorting by

×

TUJUH PENCAPAIAN UTAMA KERAJAAN NEGERI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 Februari – Tujuh pencapaian utama berjaya diraih oleh Kerajaan Negeri Melaka hasil daripada pelbagai inisiatif baharu yang diperkenalkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian pertama adalah kejayaan Inisiatif Kampung Digital yang mana proses memberikan atau melekatkan kod QR alamat digital di 2,875 kediaman di tiga daerah sudah sempurna dilaksanakan.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, pencapaian kedua pula pelaksanaan Inisiatif Zon Bebas Kenderaan yang kini mencatatkan kehadiran seramai 2.6 juta pengunjung dan pelancong atau 143,000 orang secara purata setiap bulan.

“Pencapaian ketiga adalah Inisiatif Paramedik Komuniti (Parakom) dengan rekod penyertaan seramai 1,103 orang ahli setakat ini. Keempat, merancakkan ruangan udara dengan kehadiran Scoot Airlines dan laluan air menerusi persinggahan Kapal Persiaran Mewah Genting Dream Cruise; Pencapaian kelima adalah membangunkan kawasan industri baharu seperti MCORP Hi Tech Park, German Technology Park dan Kawasan Perindustrian Elkay 2.0.

“Sementara itu pencapaian keenam dengan menghidupkan semula sukan tradisional iaitu Dam Aji dan Konda Kondi manakala terakhir menyelesaikan aduan dan menyantuni kebajikan rakyat melalui Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR),” katanya ketika menyampaikan Ucapan Rumusan dan Perasmian Penutup Konvensyen Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post PERTUMBUHAN EKONOMI MELAKA TERUS POSITIF
Next post 96 PERATUS PERANCANGAN FASA 1 PSMJ 2035 TERLAKSANA PADA 2024