Tujuh mengaku bersalah tawar pinjaman wang tanpa lesen
MELAKA, 2 Julai – Tujuh termasuk seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan pinjaman tanpa lesen.
Gabriel Ng Jia Rong, 29, Lai Kok Peng, 48, Chong Kok Wei, 22, Mah Chung Ming, 18, Pang Xuan Yi, 18, Celine Tan Yan Yi, 18, dan Tan Wui Hong, 52 didapati telah menjadi pihak kepada suatu pakat jahat jenayah untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Parkland Residence, Jalan Tun Perak kira-kira 12.40 tengah hari pada 25 Jun lepas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana mereka terbabit dengan sindiket along.
Bagaimanapun, peguam Umar Zulkarnain memohon agar mahkamah mengenakan hukuman minimum atas alasan ini merupakan kesalahan pertama mereka.
Majistret Khairunnisak Hasni kemudiannya mengenakan hukuman denda RM2,000 kepada Mah, Pang serta Celine Tan dan denda RM2,500 kepada Ng, Lai, Chong dan Tan.
Khairunnisak juga memerintah tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.
Baru-baru ini, polis Melaka mematahkan sindiket along yang menyasarkan pelanggan sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka dengan tangkapan tujuh indvidu di Jalan Tun Perak di sini.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Saman dilaporkan berkata sindiket itu menawarkan pinjaman wang antara RM500 hingga RM5,000 dengan kadar faedah sehingga 20 peratus seminggu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.