Sorting by

×

TUDUHAN DEMI TUDUHAN, JEMU DENGAN FITNAH POLITIK BERULANG – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI NEGERI 29 April – Audio mirip suara Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang tular disifatkan sebagai taktik ‘lapuk’ pihak terdesak bertujuan mencemarkan imej beliau sebagai pemimpin utama negeri.

Mengulas berhubung perkara itu, Ab Rauf berkata, taktik untuk membunuh karakter pemimpin seperti itu bukan sesuatu yang asing di negeri ini.

Katanya, modus operandi sama juga pernah digunakan sebelum ini yang juga betujuan untuk memburukkan pemimpin di Negeri Melaka.

Menurutnya, tindakan itu bukan perkara baharu malah beliau yakin lebih banyak siri serangan peribadi disusun pihak berkenaan dalam usaha menggugat kestabilan dalam pentadbirannya.

“Saya hendak beritahu, saya sudah jemu dengan sandiwara ini. Kita di Melaka sudah masak dengan agenda pemain politik yang kecewa. Saya yakin akan ada 30 lagi siri yang sedang disusun untuk jatuhkan imej Ketua Menteri.

“Sebelum ini Datuk Rais (Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin) turut menjadi mangsa.

“Begitu juga dengan saya berhubung tuduhan yang berlaku di (Hotel) Ames sebelum ini, semuanya merupakan fitnah terancang untuk menjatuhkan kredibiliti dan karakter seseorang untuk memimpin,” katanya pada sidang media hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Bilik Tun Mutahir, di sini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengalaman berdepan serangan bertubi-tubi sebelum ini tidak sesekali melemahkan dirinya, sebaliknya menguatkan lagi azam dan pendirian untuk terus fokus mentadbir negeri.

“Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, saya juga pernah disiasat dan rumah saya diserbu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) namun saya memilih untuk berdiam diri walaupun tahu dari mana datangnya aduan itu,” katanya.

Menurutnya, audio dan gambar tular yang digunakan kini hanyalah satu lagi usaha terdesak pihak tertentu untuk mengalih isu dan menanam persepsi negatif terhadap dirinya.

“Kerana apa? Saya dah jemu dengan sandirawa yang menggunakan perkara itu (penularan audio) untuk meraih simpati untuk lari daripada perkara asas.

“Pengakhirannya nanti kita lihat siapa yang ‘dalang’ dan ‘watak’ kepada sandiwara ini,” katanya.

Terdahulu, isu klip rakaman audio berkenaan dikatakan ditularkan individu tertentu dikaitkan dengan penahanan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik oleh SPRM berhubung dakwaan kes rasuah projek tambakan laut, pertengahan bulan ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post DUA SYARAT UNTUK PENTERNAK BABI PAYA MENGKUANG
Next post TIADA PERTUKARAN, HANYA PERHALUSI PORTFOLIO EXCO – KM