Tuah pertama kali sertai pertandingan memancing

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

JASIN 1 Oktober – Jika sudah rezeki tidak ke mana, itu pepatah yang tepat untuk peserta pertandingan memancing Zulkiflee Asmat, 56

Ia selepas Zulkiflee dinobatkan juara Pesta Memancing Sungai Chohong, selepas berjaya menaikkan ikan ketutu seberat 710 gram.

Menurut nelayan yang tinggal di Tangkak, Johor itu, ini adalah pertandingan memancing pertama disertainya dan tidak sangka tuah menyebelahinya selepas ikan dipancingnya itu menjadi ikan terberat didaratkan dalam kalangan peserta bertanding.

“Memang tidak sangka kerana ingat ada lagi peserta yang naikkan ikan lebih besar. Alhamdulillah rezeki buat saya.

“Saya minat memancing tetapi ini adalah pertandingan pertama disertai, memang sesuatu yang menyeronokkan,” katanya ketika ditemui pada Program Jabatan Perikanan Negeri Melaka Bersama Nelayan dan Penduduk Kampung Chohong, hari ini.

IMG_20221001_154617_817
JASIN 1 Oktober – Timbalan Menteri Pertanian I Datuk Seri Ahmad Hamzah menyampaikan hadiah kepada Zulkiflee Asmat yang menjuarai pertandingan memancing sempena Program Jabatan Perikanan Melaka Bersama Nelayan dan Penduduk Kampung Chohong, Jasin. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan hadir sama Ketua Pengarah Perikanan Datuk Mohd Sufian Sulaiman serta Pengarah Perikanan Melaka Mohd Fauzi Salehon.

Selaku juara, Zulkiflee memenangi kit makanan asas dan wang tunai RM500 yang mana menurutnya sebahagian hadiah kemenangan yang diperoleh akan diinfaqkan ke masjid berdekatan kediamannya.

“Insya-Allah, nilainya agak besar dan saya akan infaqkan sebahagian kepada masjid sebagai tanda kesyukuran dan berkongsi rezeki,” katanya.

Sementara itu, pada pertandingan memancing disertai 133 peserta itu, kira-kira 30 daripada adalah kaum wanita dan ternyata tidak kurang hebat apabila berjaya menempatkan diri dalam kalangan 10 pemancing terbaik.

Kamariah Rabu, 63, berkata, meskipun terpaksa bersaing dengan ramai peserta lelaki namun tidak menjadi penghalang buatnya untuk mendaratkan ikan ketutu seberat 75 gram sekali gus mendapat tempat keempat.

IMG_20221001_154749_802
JASIN 1 Oktober – Peserta yang menyertai pertandingan memancing sempena Program Jabatan Perikanan Melaka Bersama Nelayan dan Penduduk Kampung Chohong, Jasin. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Kita sertai pertandingan ini hanya untuk suka-suka, kalau ada rezeki, adalah..Sama seperti hari ini.

“Memancing di sungai seperti ini agak mencabar kerana air agak laju. Disebabkan bukan kali pertama, jadi dengan pengalaman sebelum ini saya cuba,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5030
Kongsi :
Previous post Kadar wanita jalani saringan kanser payudara masih rendah di Melaka – Exco
Next post Tingkat sumber perikanan Melaka
Ubah saiz-+=