
Trend salah guna dadah meningkat saban tahun
KRUBONG 17 Sept. – Trend penyalahgunaan dadah di negeri ini semakin meningkat setiap tahun melibatkan golongan muda berumur 18 hingga 45 tahun.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka Nazir Mohamad berkata, di Melaka kira-kira 72 peratus golongan yang terlibat adalah dalam kalangan belia.
“Trend dadah sentiasa meningkat tidak pernah menurun, jika dahulu mengenai dadah tradisional sekarang masalah dadah moden yang boleh menjejaskan mental seseorang.
“Pada tahun 2019 seramai 534 penagih dadah di kesan di Melaka sekali gus menjadikan Melaka negeri kelima tertinggi berbanding dengan populasi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi dialog pada Program Semarak Bulan Kebangsaan Peringkat Kampung Gangsa Tahun 2020 di Restoran Kolok Vs Laksa, baru-baru ini.
Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, AADK menerima pelbagai aduan melibatkan penyalahgunaan dadah.
“Dalam musim Covid-19 masa PKP, kita terima banyak aduan salah guna dadah dan kita berjaya menangkap seramai 300 penagih dadah,” katanya.
Pada program itu turut diadakan persembahan persembahan sajak bagi pemenang dan persembahan wakil komuniti India.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Gangsa Noriah Mail.