Trend penyalahgunaan dadah kalangan belia di Melaka membimbangkan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 19 Feb. -Trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia di negeri ini amat membimbangkan dan memerlukan pendekatan bersepadu segera di pelbagai peringkat bagi mengatasi musuh nombor satu negara itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, golongan belia perlu diberikan perhatian menyeluruh agar mempunyai jati diri yang kukuh dan bebas daripada pengaruh dadah kerana mereka adalah modal insan untuk mengemudi negara pada masa depan.

Katanya, berdasarkan rekod Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, sepanjang Januari lalu terdapat 1,765 individu sedang menjalani pegawasan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, dengan 76 peratus daripadanya belia berusia 18 hingga 45 tahun.

Katanya, sesuai tema Hari Antidadah Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Lebih Baik Cegah’ menjelaskan semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dan tindakan awal menangani masalah penagihan dadah kalangan belia.

“Justeru, pertamanya saya mahu semua agensi di Melaka serta komuniti setempat untuk bertanggungjawab, bersama-sama cakna dan ambil peduli terhadap persekitaran tempat tinggal, institusi pendidikan dan tempat kerja agar bebas daripada dadah.

“Seterusnya, institusi pendidikan khususnya guru perlu memainkan peranan besar dalam pembentukan sahsiah dan pembangunan jati diri generasi muda, kerana sebahagian besar perkembangan individu berada di alam pendidikan formal,” katanya dalam perutusan sempena peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2021 yang disiarkan di Facebook rasminya hari ini.

Sulaiman berkata, seterusnya golongan pelajar perlu memanfaatkan masa terluang bagi meningkatkan kemahiran kendiri, seperti kemahiran asetif, kemahiran komunikasi, kemahiran bersosial dan penglibatan gaya hidup sihat secara aktif bagi mengelak terjebak najis dadah.

“Saya juga menyeru semua yang terbabit penyalahgunaan dadah segera mendapatkan rawatan dan menjalani pemulihan dadah secara sukarela di fasiliti disediakan kerajaan dan swasta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

809
Kongsi :
Previous post PKPB: Zoo Melaka kembali beroperasi
Next post Kopitiam di Tengkera guna penghantar makanan robot
Ubah saiz-+=