Trem antara ikhtiar Melaka atasi kesesakan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER LIMAU 1 Julai – Kerajaan Negeri sedang menunggu kertas cadangan penuh pembinaan sistem pengangkutan trem di Melaka bagi membantu penyuraian trafik di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, sebuah syarikat operator yang berminat membangunkan sistem pengangkutan itu kini sedang merangka kertas cadangan sebelum dinilai semula Kerajaan Negeri.

Jelasnya, pembinaan itu bagaimanapun perlu melihat pelbagai aspek sama ada ia benar-benar mampu membantu menyelesaikan isu kesesakan trafik di Melaka ataupun tidak.

“Kita juga kena melihat jalan raya guna sama yang digunakan untuk pengangkutan trem ini sesuai atau pun tidak kerana jalan raya sedia ada ini mempunyai dua lorong dan sempit, kita kena menilai semula sama ada pembinaan ini memberi impak negatif atau positif.

“Sistem ini diyakini mampu membantu memudahkan sistem pengangkutan di Melaka cuma kita ada masalah (jalan), jadi penilaian perlu dilakukan sama ada sistem trem ini membantu lebih baik untuk mengelakkan kesesakan jalan raya atau menambahkan lagi kesesakan.

“Kalau kita bawa teknologi baharu tapi kesesakan masih bertambah, ia mungkin tidak dilaksanakan kerana fokus kita kini ialah untuk menyelesaikan dahulu kesesakan yang ada di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Korban Perdana DUN Ayer Limau 2023 di Kompleks Japerun Ayer Limau, di sini, semalam.

Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, operator berkenaan akan membentangkan kertas cadangan berkenaan dalam tempoh sebulan akan datang.

Katanya, perbincangan seterusnya akan di bawa dan diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi menilai terma-terma dan perjanjian berkaitan.

“Saya dimaklumkan syarikat operator ini akan membina sistem pengangkutan trem fasa pertama difahamkan sekitar 20 kilometer (km) dari Ayer Keroh ke Banda Hilir.

“Sistem ini bukannya sehala tetapi mempunyai dua hingga tiga laluan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2079
Kongsi :
Previous post Angkat e-sukan dalam kokurikulum sekolah
Next post Kursus pendek dua bulan bantu lepasan SPM
Ubah saiz-+=